SHIDEE rindu untuk kembali diperkatakan, mahu segera hasilkan single.
SHIDEE rindu untuk kembali diperkatakan, mahu segera hasilkan single.
Ridzuan Abdul Rahman


Kali terakhir penyanyi Shidee berkunjung ke Balai Berita adalah pada 2011 untuk mempromosikan album kompilasi berjudul Pop Syahdu!!.

Album terbitan Rock Records itu menampilkan rangkaian lagu popular Shidee serta karya baru berjudul Kecundang Jua Akhirnya ciptaan Eddie Hamid dan lirik oleh Nizam Hamid.

Selepas itu, pemilik nama sebenar Rashid Abdul Wahab ini menyepi sehingga menimbulkan pelbagai persoalan kepada peminat.

Enam tahun berlalu, Shidee, 58, muncul semula untuk berkongsi perkembagan terkininya.

“Saya masih aktif menyanyi dan bercadang menghasilkan single. Sebenarnya sebelum ini telefon bimbit saya hilang.

“Sejak itu saya pakai nombor baru yang ramai orang tak tahu dan susah nak dihubungi. Selain itu, saya tak banyak simpan nombor telefon penganjur persembahan hingga mereka terpaksa mencari saya dengan bantuan pelbagai pihak,” katanya.

Shidee yang popular pada era 80-an menerusi lagu Semuanya Sudah Terlambat dan Janganlah Menghancurkan diundang menyanyi di Bukit Jalil, baru-baru dan terkejut dengan sambutan hebat peminat terhadap persembahannya.

“Terharu apabila mereka mengakui rindu tengok saya menyanyi. Bukan di Semenanjung sahaja, penganjur di Sabah dan Sarawak pun mencari saya bagi menjayakan persembahan.

“Perkembangan positif ini membakar semangat saya untuk segera menghasilkan single baru. Material sudah ada dan mungkin akan mendapat sentuhan Datuk Ahmad Nawab,” katanya.

Menurutnya, walaupun dianggap sudah berusia, sentuhan Ahmad Nawab masih berbisa dalam penghasilan lagu pop Melayu.

“Saya tak pernah lupa jasa Abang Mad (Ahmad Nawab) pada saya. Lagu ciptaan beliau yang saya nynyikan masih dimainkan di radio sehingga sekarang.

“Saya pernah berjumpanya sebelum ini dan menyuarakan hasrat mahu dia hasilkan lagu tetapi beliau kata tengok kesesuaian dulu. Kalau pun tak terbabit, saya tetapi puas hati sekiranya dia dapat bantu sumbangkan idea,” katanya.

Biarpun belum pasti sambutan yang bakal diterima, Shidee berpendapat single baru penting sekiranya mahukan publisiti media cetak dan elektronik.

“Publisiti akan ada apabila saya tampil dengan produk baru. Saya tengok artikel mengenai rakan artis seangkatan dalam akhbar dan rindu untuk kembali diperkatakan seperti mereka.

“Selain itu, single baru amat penting bagi menghebahkan kepada peminat yang saya masih aktif menyanyi. Saya tak pernah merajuk atau ada isu lain,” katanya.

Menyentuh sisi peribadi, Shidee gembira hidup di samping isterinya, Siti Fairunnisa Aziz, 29, serta dua anak mereka, Putri Noja, 5, dan Putri Ardani, 1.

“Alhamdulillah, hidup saya sekarang amat bermakna. Rasanya hidup sekarang lebih bahagia berbanding dulu,” katanya.

Penganjur yang ingin mengundang Shidee menjayakan persembahan boleh menghubungi pengurusnya, Fendi menerusi Facebook Efeendy R Azmi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 5:01 AM