AHMAD Nawab main muzik setiap hari, boleh ‘jatuh sakit’ andai tinggalkan bidang itu.
AHMAD Nawab main muzik setiap hari, boleh ‘jatuh sakit’ andai tinggalkan bidang itu.

Nama Datuk Dr Ahmad Nawab cukup sinonim kerana sentuhan ajaibnya berjaya melahirkan ramai nama besar dalam bidang muzik tanah air antaranya Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Uji Rashid, Hail Amir, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Shake.

Sepanjang pembabitannya dalam bidang muzik, komposer dengan nama sebenar Ahmad Nawab Ahmad Khan yang dilahirkan di Pulau Pinang ini sudah mencipta dan menggubah lebih 2,000 lagu dengan melodi indah sejak era 1950-an.

Sumbangannya dalam bidang muzik dihargai dengan dianugerahkan Seniman Negara pada 2006. Beliau juga berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun.

Dalam kalangan anak didiknya, Ahmad Nawab me–ngakui Jamal yang juga juara Bintang RTM 1979 adalah ‘anak emasnya’ sejak dulu. Malah, banyak lagu ciptaan beliau turut menaikkan nama Jamal dalam bidang seni seperti Derita Cinta, Kau Lupa Janji, Sepi Seorang Perindu dan Seniman Menangis.

Lagu Seniman Menangis juga ciptaan sepenuhnya Ahmad Nawab dan lirik ditulis Habsah Hassan dihasilkan pada 1990.

Namun, sejak kebelakangan ini nama Anak Nawab agak menyepi di persada hiburan tanah air. Ke mana menghilangnya komposer hebat ini?

Kali terakhir beliau membuat kemunculan ialah menerusi Konsert Gemilang bersama dua anak didiknya iaitu Jamal dan Khaty pada 2012.

Ikuti temu bual Wartawan RAP, Ramlah Zainal ([email protected]) bersama Ahmad Nawab untuk berkongsi perkembangan terkininya sekali gus pandangannya mengenai industri muzik tempatan, baru-baru ini.

RAP: Sepanjang pembabitan dalam bidang seni, anda sudah membimbing ramai artis dan nama besar, tetapi kenapa Jamal dianggap sebagai anak emas?

AHMAD NAWAB: Saya berjumpa dengan Jamal buat kali pertama ketika pertandingan akhir Bintang RTM pada 1979. Selepas pertandingan itu Jamal ada datang berjumpa dengan saya buat lagu untuk albumnya. Saya juga menjadi juri dan Jamal muncul juara pada malam itu. Sejak itu, persahabatan kami bermula dan saya juga banyak mencipta lagu untuk Jamal sekali gus menaikkan namanya dalam bidang seni tanah air.

RAP: Dalam banyak lagu yang dihasilkan kenapa Seniman Menangis cukup bermakna berbanding lagu lain?

AHMAD NAWAB: Lagu Seniman Menangis ini memiliki keistimewaan tersendiri kerana ia memiliki empat ‘range.’ Lagu Melayu lain ada tiga ‘range’ saja. Belum ada lagu Melayu di Malaysia yang memiliki empat ‘range’. Saya pilih Jamal untuk me–nyampaikan lagu Seniman Menangis kerana kemampuannya untuk menyampaikan lagu empat ‘range’ ketika itu.

RAP: Benarkah lagu Seniman Menangis pernah mencetuskan kontroversi membabitkan anda dan Jamal dalam bidang seni sebelum ini?

AHMAD NAWAB: Memang ada kontroversi tercetus kerana saya tidak puas hati Jamal tidak menyampaikan lagu Seniman Menangis mengikut ‘range’ yang saya mahukan.

Maklumlah, dalam studio macam-macam boleh jadi. Namun selepas itu kami berbaik semula.

RAP: Lagu terakhir yang anda hasilkan untuk Jamal sebelum ini?

AHMAD NAWAB: Saya ada mencipta lagu Suraya untuk Jamal pada 2010. Lagu itu juga disampaikan oleh Jamal pada Konsert Gemilang. Saya buat lagu Suraya berdasarkan cerita benar dan kalau buat filem pasti ia mendapat sambutan ramai.

RAP: Sebagai komposer anda ada kriteria tertentu dalam pemilihan anak didik?

AHMAD NAWAB: Penya–nyi itu perlu memiliki identiti tersendiri. Saya buat lagu mengikut karakter seseorang penyanyi itu. Lagu untuk Jamal tidak boleh jadi lagu untuk Khaty atau Ramlah Ram. Saya pernah menolak untuk buat lagu seorang penyanyi tempatan dulu kerana tidak menepati kriteria artis yang dikehendaki.

RAP : Khabarnya, anda tidak berpuas hati dengan persembahan Farahdhiya ketika menyampaikan lagu ciptaan anda Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu dalam program Gegar Vaganza tahun lalu?

AHMAD NAWAB: Saya memang tidak puas hati kerana penyanyi itu merosakkan lagu ciptaan saya. Selaku komposer dan juri tetap Gegar Vaganza, Datuk Ramli MS tidak sepatutnya turunkan ‘key’ lagu itu. Mereka sepatutnya menghormati saya sebagai pencipta asal lagu berkenaan. Saya tidak marah kalau penyanyi itu menyanyi lebih baik daripada penyanyi asalnya.

RAP: Adakah anda ada menghasilkan lagu baru ketika ini?

AHMAD NAWAB: Saya ada banyak lagu dalam simpanan. Saya juga ada mencipta lagu baru Kau Yang Terakhir, tetapi belum dirakamkan lagi. Saya juga belum bercadang untuk me–nyerahkan lagu itu kepada mana-mana penyanyi lagi.

RAP: Mungkin ada perancangan untuk buat lagu baru untuk Jamal?

AHMAD NAWAB: Kalau Jamal minta saya buat lagu baru untuk dia saya akan buatlah. Saya buat lagu sekejap saja kerana semua-

nya sudah ada dalam fikiran. Proses rakaman lagu dengan Jamal pun senang di studio kerana jiwanya ada di situ.

RAP: Sekian lama terbabit dalam bidang muzik, pernahkah anda merancang bersara dari bidang seni?

AHMAD NAWAB: Tidak pernah. Kalau saya berhenti dari bidang muzik, saya akan jatuh sakit. Walaupun tidak mencipta lagu pun, saya akan berlatih bermain muzik setiap hari kerana ia sebahagian daripada hidup saya. Bagaimanapun, syarikat rakaman sudah tidak buat lagu baru sekarang kerana banyak lagu boleh didapati di YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 11:04 AM