HAIL Amir seorang yang mudah mesra dan baik budi.
HAIL Amir seorang yang mudah mesra dan baik budi.
Norhayati Nordin


ALLAHYARHAM Datuk Hail Amir, 77, pernah meluahkan isi hati beliau yang tidak menyesal membina karier sebagai anak seni yang disifatkan memberi peluang kepadanya menghiburkan orang ramai dalam dan luar negara.

Menurutnya, beliau juga tidak akan menolak rezeki nyanyian yang datang kepadanya kerana menyifatkan perbuatan itu tidak disukai oleh Allah, apatah lagi menyanyi adalah minat utama arwah sejak mula aktif pada era 1970-an dulu.

"Saya tidak akan menolak rezeki kerana sekali kita tolak, belum tentu akan dapat lagi. Jadi, daripada selepas itu akan termenung menanti rezeki, maka, apabila sudah dapat (rezeki) itu, kita terima saja dan bersyukur.

"Allah pun suka dan saya sememangnya gembira apabila dapat menghiburkan ramai orang," kata arwah ketika bertemu pada sidang media Konsert Raya Sepanjang Zaman bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di sebuah hotel di ibu negara, Mac tahun lalu.

Seorang yang ramah dan mesra berbicara, menariknya keperibadian Allahyarham Hail apabila arwah suka bergurau dan menitipkan nasihat di dalam gurauannya umpama pesan seorang bapa buat anak-anak.

Pada pertemuan itu juga, arwah amat bersemangat apabila mikrofon ada di tangan dan berseloroh, sakit dialaminya terasa 'hilang' dan kembali sihat apabila dapat menyanyi serta memberi hiburan kepada orang ramai, terutama peminatnya.

"Bila dapat mikrofon ini terus bersemangat. Nak suruh nyanyi lagu apa pun boleh," katanya yang cukup terkenal sebagai penyanyi solo serta rakan duet kepada penyanyi dan pelakon era 1970-an, Uji Rashid.

Sepanjang aktif dalam karier nyanyiannya, suara lunak Hail juga membuatkan arwah boleh dilabel sebagai 'penyanyi pilihan istana' kerana sampai ke Brunei, beliau sering menerima undangan persembahan nyanyian.

Kini, semuanya tinggal kenangan apabila arwah Hail disahkan meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Hospital Kuala Lumpur (HKL), jam 3.48 petang Isnin lalu dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Kuala Lumpur, pagi semalam.

Hail atau nama sebenarnya, Abdul Hail Amir adalah anak jati berasal dari Pulau Pinang.

ARWAH Hail mula aktif dalam bidang seni sejak 1970-an.
ARWAH Hail mula aktif dalam bidang seni sejak 1970-an.

Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu Datin Safiah Ibrahim serta empat cahaya mata dan beberapa orang cucu.

Dalam nyanyian, duet Hail dan Uji cukup mantap dalam lagu-lagu mereka seperti Hujan, Menunggu Nasi Minyak, Antara Matamu dan Mataku, termasuk lagu Seloka Hari Raya yang 'evergreen' hingga kini.

Selain menyanyi, Allahyarham Hail juga pernah dikenali sebagai pelakon filem menerusi naskhah layar perak seperti Jiwa Remaja, Cinta Dan Lagu, Menanti Hari Esok, Sesejuk Air Mata Ibu dan Anita Dunia Ajaib.

Selepas lebih lima dekad menabur jasa dan bakti arwah dalam dunia seni, Hail dikurniakan gelaran darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada 2022 dan disifatkan pengiktirafan besar buat dirinya.

Sebelum ini, arwah Hail pernah dirawat di hospital pada 2018 selepas mengadu sakit dada dan dimasukkan ke wad akibat masalah jantung dan kemudian, menjalani pemeriksaan berkala di Institut Jantung Negara (IJN).

Sementara itu, penyanyi Bob Yusof, 42, menyifatkan pemergian Hail sebagai figura hebat yang dikenalinya secara rapat sejak 18 tahun lalu satu kehilangan besar dalam bidang nyanyian tanah air dan mengejutkan.

"Saya tahu arwah dah lama kurang sihat. Tapi, arwah ini seorang yang suka sangat bergurau dan berjenaka. Ketika bekerjasama dengannya pada Konsert Raya Sepanjang Zaman bersama MPO di DFP tahun lalu memang seronok sebab arwah juga gemar memberikan nasihat.

"Saya masih ingat lagi, arwah titipkan pesan kepada saya agar sentiasa menjaga disiplin diri ketika bekerja dan apa saja yang dilakukan. Jadi, pesanan arwah itu akan saya ingat sampai bila-bila. Arwah adalah seorang penghibur sejati," katanya.

Bob berkata, dia bagaimanapun bersyukur dapat menyantuni keluarga Allahyarham Hail di kediamannya di Ukay Perdana pada malam kelmarin sebagai memberikan penghormatan terakhir kepada insan seni yang dianggapnya seperti bapa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 6:20 AM