Awie ketika hadir Majlis Berbuka Puasa Rumah Produksi Merah dan Awie Entertainment di Putrajaya. FOTO AIZUDDIN SAAD
Awie ketika hadir Majlis Berbuka Puasa Rumah Produksi Merah dan Awie Entertainment di Putrajaya. FOTO AIZUDDIN SAAD
Norhayati Nordin


Putrajaya: Datuk Awie, 56, mengakui timbul rasa bersalah di hatinya sebagai bapa kerana kurang masa bersama keluarga dan anak-anaknya ketika mereka masih kecil.

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman berkata, dia bercadang mahu memperlahankan karier seninya dalam tempoh sembilan tahun lagi untuk 'membayar' semula masa yang sudah berlalu itu kepada keluarga.

"Saya menjadi penyanyi sejak berusia belasan tahun. Wings akan mencecah usia 40 tahun, manakala kerjaya nyanyian solo saya pula memasuki 30 tahun.

"Selama ini sudah terlalu banyak masa yang saya korbankan untuk keluarga dan anak-anak. Jadi, apa yang saya nak kejarkan lagi selain nak 'bayar balik' masa saya bersama isteri, anak-anak dan keluarga.

"Saya nak besarkan anak anak saya yang masih kecil itu dan saya cuma nak masa yang berkualiti dengan mereka, keluarga saya. Dua orang anak perempuan saya sudah belajar di universiti yang saya jarang nampak.

"Dulu ketika mereka (anak-anak) kecil dan ada program di asrama, saya tak dapat tengok. Begitu juga, konsert anak saya di sekolah tadika pun saya tak dapat hadir sebab sibuk dengan konsert sendiri," katanya.

Awie berkata, sebenarnya amat menyedihkan dalam hidupnya apabila kurang detik-detik indah melihat anak-anak membesar depan mata. Kini adalah masanya untuk keluarga pula.

Menurut Awie, dia juga akan menimang cahaya mata ketujuh tidak lama lagi apabila isterinya iaitu Datin Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin kini hamil lima bulan, anak kedua hasil perkongsian hidup mereka.

Pada 7 Oktober 2016, Awie berkahwin dengan Sharifah Ladyana di Songkhla, Thailand dan dikurniakan seorang anak lelaki pada 2020 lalu.

Menerusi perkahwinan kedua dengan Rozana Misbun pada 20 Jun 2005, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 19, Putra Ahmad Rezzki, 16, dan Puteri Qasseh Antasha, 14, sebelum bercerai pada 1 November 2014.

Selain itu, Awie juga memiliki dua anak perempuan hasil perkahwinan pertamanya dengan penyanyi, Arni Nazira iaitu Putri Aleeya Antasha, 24, dan Putri Aleefa Antasha, 22, kini melanjutkan pengajian di universiti.

Terdahulu, Awie ditemui media pada majlis berbuka puasa bersama Rumah Produksi Merah dan Awie Entertainment miliknya yang dianjurkan di Bike & Beans, Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, Awie juga menyampaikan sumbangan peribadi kepada insan seni memerlukan iaitu pelakon, Isma Aliff, keluarga Allahyarham Yazit Search dan anak Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali P Ramlee.

Turut diumumkan ialah penganjuran konsert solo Awie, Journey yang bakal berlangsung di dua lokasi iaitu di Star Theatre, Singapura pada 27 Julai depan dan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) pada 3 Ogos.

Konsert istimewa ini akan membawa peminat menelusuri perjalanan karier nyanyian Awie dari mula sampai ke hari ini, termasuk banyak kisah suka dan duka pernah dihadapinya turut dikongsikan kepada peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 2:50 PM