Awie dan Ladyana kini suami isteri.
Awie dan Ladyana kini suami isteri.
Ladyana mencium tangan suaminya. FOTO NSTP
Ladyana mencium tangan suaminya. FOTO NSTP
Syanty Octavia Amry


Kuala Lumpur: Dengan sekali lafaz penyanyi rock terkenal Awie selamat bergelar suami kepada wanita pilihannya, Sharifah Ladyana Syed Samsuddin pada 12.10 tengah hari tadi.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, bersama Sharifah Ladyana, 29, bernikah di Songkhla, Thailand dalam majlis berlangsung yang hanya dihadiri ahli keluarga serta rakan-rakan terdekat.

Segak mengenakan baju hitam dengan selempang dan tanjak berwarna kuning, pengantin perempuan sedondon dengan rona sama.

Merahsiakan lokasi pernikahannya, ini adalah perkahwinan ketiga vokalis kumpulan Wings itu.

Awie ketika dihubungi berkata, dia lega apabila segala yang dirancang berjalan dengan lancar dan sempurna.

"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Saya menerima Ladyana kerana sikapnya yang bersederhana dalam segala hal.

"Dia juga menerima anak-anak saya seadanya. Sikap ikhlasnya itu menambat hati saya untuk menyuntingnya sebagai suri hidup,” katanya.

Majlis resepsi pasangan berkenaan akan diadakan pada malam ini di tepi pantai.

Memilih konsep tradisional Melayu, Awie berkata, cintanya terhadap bangsa Melayu yang kuat menyebabkan dia memilih konsep berkenaan.

"Lagipun siapa lagi yang hendak membanggakan adat kita kalau bukan anak Melayu sendiri,” katanya.

Awie berkata, jika tiada halangan dia juga merancang mengadakan sebuah majlis lagi namun belum memutuskan tarikhnya.

Terdahulu, Awie mengikat tali pertunangan dengan Sharifah Ladyana di Hotel Vistana, Pulau Pinang pada 3 Jun lalu.

Awie juga sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi Arni Nazira Anuar dan hanya bertahan selama lapan tahun sebelum bercerai pada 2006.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurnaikan dua orang anak iaitu Puteri Aleeya Antasha, 16, dan Puteri Aleefa Antasha, 14.

Dalam pada itu, Awie turut berkahwin secara rahsia di Selatan Thailand dengan Rozana Misbun, 38, pada 2005 dan memiliki tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 9, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 6.

Pun begitu Awie dan Rozana kini dalam proses perceraian dan kes pengesahan perceraian mereka masih lagi berjalan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 6:22 PM