Awie pada Malam Gala dan Tayangan Perdana filem Sue-On di GSC Starling Mall. FOTO GENES GULITAH
Awie pada Malam Gala dan Tayangan Perdana filem Sue-On di GSC Starling Mall. FOTO GENES GULITAH
Ridzuan Abdul Rahman


Petaling Jaya: Sambutan Aidiladha buat Datuk Awie tahun ini paling bermakna kerana mungkin dapat bertemu dua anaknya, Putra Ahmad Rezzki, 15; dan Puteri Qasseh Antasha, 13, yang sudah lapan tahun terpisah selepas di bawah jagaan bekas isterinya, Rozana Misbun.

Awie berkata, dia amat menantikan detik untuk bertemu dua anaknya itu.

"Ini mungkin jadi Aidiladha yang bermakna untuk tahun ini. Kalau ikut dari perjanjiannya begitulah, raya haji (Aidiladha).

"Saya sangat teruja menunggu tarikh ini. Harap-harap dapatlah," katanya ketika ditemui di Malam Gala filem terbitannya, Sue-On di pusat beli-belah, di sini.

Awie berkata, dia tidak mempunyai rancangan untuk membawa mereka ke mana-mana kerana mesej yang dihantar setakat ini belum berjawab.

"Tunggu dapat balasan dulu daripada pihak dia. Kalau dapat balasan, kalau dia kata nak keluar, saya bawalah keluar. Kalau tidak, datang sehari pun tak apa.

"Tengok setengah hari pun tak apa. Saya nak tahu apa mereka nak tapi belum diberitahu lagi," katanya.

Menurutnya, sepanjang lapan tahun ini, dia tidak dapat berhubung terus dengan mereka.

"Qasseh ada mesej saya ketika saya di Makkah, Ramadan lalu. Saya berdoa, tiba-tiba saya balik anak saya mesej saya. Ya Allah, masa itu berderai air mata keluar. Rajin juga dia mesej selepas itu dan selepas itu mungkin dia tak dapat mesej saya.

"Baru-baru ini dia menghantar mesej kemungkinan Aidiladha ini dia nak jumpa. Dia sendiri yang nak jumpa saya sebab dia yang dapat mesej saya.

"Saya tak boleh mesej dia kerana bila saya mesej tak tahu dapat jawapan atau tidak. Saya tak tahu nombor pun," katanya yang turut memaklumkan tidak tahu mereka tinggal di mana.

Awie berkata, ucapan daripada mereka amat menyentuh perasaannya.

"Dia bagi salam dan beritahu itu dia, Qasseh. Dia rindukan saya, sayangkan saya sangat-sangat. Adalah macam-macam lagi. Saya tak boleh cakap lagi," katanya yang kelihatan sebak.

Menerusi perkahwinan dengan Rozana pada 20 Jun 2005, mereka juga dikurniakan seorang lagi anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 16.

Mereka bercerai pada 1 November 2014 dan Merrah kini tinggal bersama Awie.

Awie juga memiliki dua anak hasil perkahwinan pertama dengan penyanyi, Arni Nazira iaitu Putri Aleeya Antasha, 23; dan Putri Aleefa Antasha, 21.

Pada 7 Oktober 2016, Awie berkahwin dengan Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin dan dikurnikan seorang anak pada 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 10:30 AM