Awie bersama isteri, Sharifah Ladyana (kanan) dan enam anaknya.
Awie bersama isteri, Sharifah Ladyana (kanan) dan enam anaknya.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Datuk Awie berterima kasih kepada isterinya, Datin Sharifah Ladyana Syed Samsuddin kerana merealisasikan impian untuk bertemu dua anaknya, Putra Ahmad Rezzki, 15, dan Puteri Qasseh Antasha, 13, yang sudah lapan tahun terpisah dengannya.

Awie ketika dihubungi berkata, Ladyana memainkan peranan yang besar dalam diam sehingga berlakunya pertemuan itu yang berlangsung semalam dan kelmarin.

"Terima kasih banyak-banyak kepada isteri saya yang menjalankan tugasnya dengan baik. Dia yang mainkan peranan tanpa pengetahuan saya sebenarnya.

"Mungkin dia nampak kesedihan saya dan doa-doa saya. Jadi, dia mulakan langkah untuk menjadi orang tengah dan akhirnya berjaya berjumpa sempena Aidiladha tahun ini," katanya kepada Harian Metro.

Awie menerusi hantaran di Facebook semalam, memuat naik gambar mereka yang dapat bersama dua anaknya itu.

Selain Ladyana dan anak mereka, Putra Ahmad Andeeka, mereka turut disertai tiga lagi anak Awie iaitu Putri Aleeya Antasha, 23; Putri Aleefa Antasha, 21; dan Putra Ahmad Merrah, 16.

Malah, bekas isterinya, Rozana Misbun turut kelihatan dalam pertemuan itu.

Awie turut berkongsi gambar dia bersama enam anaknya itu mandi di kolam renang sebuah hotel.

Awie berkata, dia sangat bersyukur kepada Allah kerana semuanya berjalan dengan baik.

"Ibu kepada anak-anak saya pun beri komitmen yang bagus. Kami harap tidak ada masalah-masalah akan datang dan tak perlu nak diungkit-ungkit hal-hal yang lama lagi. Tak perlu!

"Saya pun minta kepada semua sahabat-sahabat media supaya jangan ungkitkan kisah-kisah lama yang boleh merosakkan pemikiran anak-anak saya.

"Kami dah berjumpa, dah elok dan dengan penuh kesedihan dan kerinduan. Anak-anak saya menangis dan saya sendiri turut menangis," katanya.

Awie berkata, dia bertekad untuk mengelak sebarang masalah dalam hubungannya dengan anak-anak.

'perkara lalu biarkan berlalu. Saya dah lupakan apa yang sudah berlaku dan kita pun dah bermaaf-maafan. Syukur banyak-banyak. Ini semua Allah punya kuasa. Terima kasih Allah. Terima kasih semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 3:25 PM