AWIE dikurniakan anak  lelaki hasil perkahwinan ketiganya dengan Datin Sharifah Ladyana.
AWIE dikurniakan anak lelaki hasil perkahwinan ketiganya dengan Datin Sharifah Ladyana.
Ridzuan Abdul Rahman

DATUK Awie belum bersedia mendedahkan gambar anak keenamnya kepada khalayak ramai Awie, 53, yang dikurniakan cahaya mata lelaki berkata, tiada kepentingan untuknya berkongsi gambar anaknya yang belum berusia sebulan lagi.

"Lagipun perubahan muka bayi berlaku setiap hari. Untuk itu rasanya saya tak perlu buat begini. Saya pun bukan ada niat untuk hebahkan atau apa-apa.

"Rasanya biar dululah, bukannya orang nak ambil kisah pun. Selepas ini, satu hari nanti orang akan tengok juga. Saya tiada niat nak sorok. Insya-Allah," katanya kepada RAP.

Bayi lelaki hasil perkahwinan ketiganya dengan Datin Sharifah Ladyana Syed Samsuddin, 34, pada Oktober 2016 ini dilahirkan pada 18 Januari lalu di sebuah pusat perubatan di Ampang, Selangor.

Awie mengakui awalnya agak kekok untuk mengendalikan bayinya ini.

"Pengalaman itu biasalah. Saya sudah 12 tahun tiada anak kecil. Jadi peringkat awal perasaan kekok memang ada.

"Tapi alhamdulillah masalah penjagaan semuanya terjamin. Anak-anak saya yang ada pun berpengalaman menjaga bayi. Dua anak perempuan saya pun boleh jaga bayi. Syukur alhamdulillah," katanya.

Menerusi perkahwinan pertamanya dengan Arni Nazira, Awie dikurniakan dua anak perempuan iaitu Puteri Aleeya Antasha, 20, dan Puteri Aleefa Antasha, 18.

Bersama Rozana Misbun pula, dia dianugerahkan tiga cahaya mata iaitu Putra Ahmad Merrah, 13, Putra Ahmad Rezzki, 12, dan Puteri Qasseh Antasha, 10.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 6:25 AM