Awie bersama isteri, Sharifah Ladyana (dua dari kanan) dan empat anaknya.
Awie bersama isteri, Sharifah Ladyana (dua dari kanan) dan empat anaknya.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: 'Power' yang itu saja pun (anak)," seloroh Datuk Awie apabila diusik mengenai dia bakal menimang anak ketujuh tidak lama lagi.

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman berkata, dia yang ketika ini berusia 56 tahun akan menimang bayi baru apabila isterinya, Datin Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin, 35, kini hamil lima bulan.

"Sekarang masih ada anak kecil lagi, umur dah 'lima ratus enam puluh tahun', anak dalam perut baru lima bulan dan bayangkan 10 tahun akan datang dia (anak) baru 10 tahun, saya dah 66, nak buat apa?

"Jadi, saya fikir mahu teruskan kehidupan dengan berniaga, tengok anak yang nak membesar. Tiada apa lagi yang nak dikejar, apa nak dicari dalam karier yang hampir 40 tahun ini. Dah terlalu lama sangat," katanya.

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri, Awie berkata, kali ini dia berpeluang meraikannya bersama semua enam anaknya buat pertama kali dalam tempoh sembilan tahun.

"Saya bersyukur doa untuk beraya dengan semua anak, terutama dua daripadanya yang kini di bawah jagaan bekas isteri iaitu Putra Ahmad Rezzki, 16; dan Putri Qasseh Antasha, 14; dimakbulkan Allah.

"Apatah lagi, dalam tempoh sembilan tahun ini sebenarnya baru kali pertama saya dapat beraya dengan semua anak sebab selalunya setiap tahun saya akan pergi bercuti apabila tiba Aidilfitri.

"Cuma, tahun ini agak istimewa sebab semua anak ada bersama, jadi saya akan duduk di rumah saja menunggu rakan-rakan dan saudara-mara datang beraya," katanya.

Menerusi perkahwinan pertama Awie dengan bekas isteri juga penyanyi, Arni Nazira, mereka dikurniakan dua anak perempuan iaitu Putri Aleeya Antasha, 24, dan Putri Aleefa Antasha, 22, kini menuntut di universiti.

Awie kemudian berkahwin kali kedua dengan Rozana Misbun pada 20 Jun 2005, namun sah bercerai pada 1 November 2014. Mereka dikurniakan tiga anak, Putra Ahmad Merrah, 17; Putra Ahmad Rezzki, 16; dan Puteri Qasseh Antasha, 14. 

Bagaimanapun, pelakon filem Hantu Kak Limah ini dipertemukan jodoh kali ketiga dengan isterinya, Sharifah Ladyana pada 7 Oktober 2016 dan mereka sudah dikurniakan seorang anak lelaki pada 2020 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 11:44 AM