Pengarah filem, Ahmad Idham Ahmad Nadzri. FOTO SADIQ SANI
Pengarah filem, Ahmad Idham Ahmad Nadzri. FOTO SADIQ SANI
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur : "Saya yang menarik diri dari mengarah filem itu kerana ada beberapa perkara yang tidak disenangi ketika dalam proses untuk penggambaran," kata pengarah, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 52, ketika diminta mengulas kenapa dia tidak jadi mengarahkan filem seram, Jangan Pandang Belakang 2 terbitan Metrowealth.

Ahmad Idham berkata, dia juga sudah menghantar surat secara rasmi kepada pihak Metrowealth, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan kementerian terbabit berhubung tindakannya itu.

"Isu itu membabitkan soal dana dari Finas. Sebagai bekas Ketua Pegawai Eksekutif Finas, saya tidak mahu pihak Finas atau kementerian fikir saya menyalah guna dana atau nama saya digunakan pihak terbabit nanti," katanya kepada Harian Metro.

Ahmad Idham adalah pengarah filem Jalan Pandang Belakang pertama pada 2007 yang menampilkan lakonan Pierre Andre, Intan Ladyana, Khatijah Tan dan Ruminah Sidek. Ia mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM7.4 juta.

Pierre Andre kini diberi tanggungjawab sebagai pengarah Jangan Pandang Belakang 2.

Ahmad Idham berkata, dia tidak kecewa tidak dapat mengarahkan filem Jangan Pandang Belakang 2 kerana menganggapnya sebagai tiada rezeki.

"Jika nak diikutkan, saya yang pergi 'pitching' dan dapatkan dana dari Finas untuk filem itu. Namun, ketika dalam proses penggambaran ia tidak seperti yang saya mahukan sedangkan 'proposal' dan idea asal adalah daripada saya.

"Saya tidak kisah tidak dapat mengarahkan filem itu tapi cuma pengikut filem seram itu tidak dapat nak tengok sentuhan saya pada sekuel kali ini," katanya.

Sebagai pengarah, Ahmad Idham berkata, dia perlu melindungi nama dan karya yang dihasilkannya terutama untuk mengangkat filem yang sudah berjaya.

"Pihak penerbit juga campur tangan pada benda-benda yang saya risau akan merosakkan karya itu kalau saya teruskan juga. Sebagai pengarah, saya juga mahu pastikan karya sekuel ini lebih bagus dari yang pertama dulu," katanya.

Bagaimanapun, dia tiada masalah filem itu diarahkan Pierre Andre kerana skrip filem Jangan Pandang Belakang pada 2007 itu dihasilkannya.

"Pierre yang menghasilkan skrip filem itu pada era 2007 dan saya cuma mengolahnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 7:16 PM