AHMAD Idham minta penggiat industri berjumpa dengannya untuk berdiskusi secara sihat. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Idham minta penggiat industri berjumpa dengannya untuk berdiskusi secara sihat. FOTO Arkib NSTP
Amirul Haswendy Ashari


KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri mendedahkan mahu melakukan pembersihan dan penstrukturan semula perbadanan itu.

Beliau ketika dihubungi Harian Metro berkata, selama ini orang luar melontar pelbagai dakwaan bersifat negatif kepada FINAS sebelum ini.

"Akan ada penambahbaikan yang lebih nyata, selain pembangunan utama industri, saya mahu seiringkan dengan kebajikan anak seni.

"Saya perlu buktikan terlebih dulu kritikan orang luar terhadap perbadanan ini kerana masih percaya pada FINAS.

"Isu sebelum ini adalah arah tuju FINAS tidak jelas sehingga menimbulkan pelbagai dakwaan negatif dan saya kena kuatkan dalaman perbadanan ini terlebih dulu," katanya.

Katanya, ia sebahagian daripada amanat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo kepadanya yang mahukan perbadanan itu diurus dengan lebih telus dan terbuka.

Selain itu, beliau juga dalam proses untuk mengumpul 'pasukan impian' terdiri daripada barisan pegawai FINAS, anak seni dan golongan pemikir yang benar-benar serius untuk membangunkan industri.

Ahmad Idham juga mengambil kira pandangan serong segelintir pihak yang mempersoal pelantikannya memegang jawatan 'kerusi panas' itu.

Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan pihak terbabit sebaliknya menawarkan kepada mereka untuk bertemu dengannya jika mempunyai pelan penambahbaikan yang menguntungkan industri.

"Tidak perlulah nak tulis di media sosial dengan 'menghentam' saya atau FINAS sebab ia tidak membantu industri pun, sebaliknya buat temujanji dan datang berjumpa saya untuk berdiskusi secara sihat.

"Saya tahu industri kita sudah sedia mempunyai pelan induk yang boleh digunakan untuk memajukan industri dan hanya menanti masa untuk direalisasikan," katanya.

Terdahulu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengumumkan pelantikan, Ahmad Idham sebagai CEO FINAS bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 11 Mac 2019.

Gobind dalam kenyataan media hari ini, mengumumkan pelantikan Ahmad Idham adalah keputusan Ahli Lembaga Pengarah FINAS berdasarkan peruntukan dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.

Ahmad Idham menggantikan pemangku Ketua Pengarah FINAS, Shakib Ahmad Shakir yang menjalankan tugas selama empat bulan lalu.

Berita berkaitan

Ahmad Idham CEO baru Finas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 6:34 PM