Syafil Syazwan Jefri

[email protected]

'KEHILANGAN' pelakon, Pierre Andre dari industri seni dan hiburan tanah air satu ketika dahulu umpama pemergian sebutir permata berharga.

Tambahan pula, keputusannya menjauhkan diri dari industri ini dibuat ketika namanya masih meniti di bibir peminat.

Berkesempatan bersemuka dan berbicara dengan susuk figura berusia 39 tahun ini, Pierre yang cukup dikenali menerusi beberapa karya seperti filem Jangan Pandang Belakang dan drama bersiri Dunia Baru berkongsi kisah sebenar.

"Saya tak ada terasa hati dengan industri. Ramai orang salah faham dan anggap saya merajuk. Saya tak merajuk dengan industri. Saya cuma mencari satu titik noktah.

"Kita tahu, mereka yang bekerja di syarikat swasta atau sebagai penjawat awam, ada masanya mereka akan bersara. Tetapi, itu tidak berlaku kepada anak-anak seni.

"Saya takut satu hari nanti saya menjadi pengemis tawaran kerja. Saya tak mahu jadi begitu. Saya beritahu isteri, apa kata kita cuba berhenti dan buka laluan rezeki yang lain," katanya.

Menurut anak kepada pelakon veteran, Khatijah Tan itu lagi, dia dan isteri memilih untuk meneruskan kehidupan mereka dari luar industri dan mengikut arah rezeki yang dihalakan Allah kepada mereka.

KETIKA menerima Anugerah Yasmin Ahmad di malam Anugerah Skrin 2012.
KETIKA menerima Anugerah Yasmin Ahmad di malam Anugerah Skrin 2012.

"Kebetulan pada ketika itu, isteri saya sedang mengandungkan anak pertama. Jadi, lebih kuat lagi alasan saya untuk berhenti.

"Tapi, pada ketika itu, saya tak tahu sama ada saya akan berhenti terus atau kembali semula. Jadi, kami teruskan mengikut arus rezeki yang sudah ditetapkan.

"Sekarang anak sulung kami pun dah berusia lapan tahun. Saya rasa ini adalah pengorbanan yang berbaloi sebab saya dapat besarkan anak-anak saya dengan tangan saya sendiri," katanya.

Baru sahaja menimang cahaya mata kedua, Pierre yang kini menggalas tanggungjawab sebagai pengarah filem sekuel, Jangan Pandang Belakang 2 (JPB2) membuka semula jalannya sebagai anak seni.

"Anak kedua ini saya rasakan sebagai pembuka rezeki untuk saya kembali dalam industri.

"Kalau nak katakan JPB2 sebagai karya 'come back' tak juga sebab sebenarnya saya dah pernah hasilkan satu filem pada tahun lalu berjudul Paradoks. Tapi, ia masih di peringkat akhir produksi dan belum dikeluarkan lagi," katanya.

Berkongsi lebih lanjut mengenai kehidupannya bersama isteri, Siti Nur Hidayah Hashim, Pierre yang juga 'family man' selesa melakukan semua perkara bersama isteri.

"Setiap perkara yang saya lakukan, saya akan lakukan bersama isteri. Saya adalah individu yang boleh dikatakan 'family man'.

PIERRE ketika diijabkabulkan dengan isteri, Siti Nur Hidayah.
PIERRE ketika diijabkabulkan dengan isteri, Siti Nur Hidayah.

"Nak berjauhan dengan anak-anak untuk menjalankan penggambaran ini pun, saya sendiri tanya diri saya, boleh ke tidak sebab kami pun baru dikurniakan cahaya mata kedua.

"Bila saya berbincang dengan isteri, dia cakap, kali ini apa kata saya terima dan teruskan sahaja walaupun sebelum ini saya dah banyak kali lepaskan peluang.

"Kami pun ada jalankan perniagaan bersama dan saya selesa dengan kehidupan saya sekarang. Bahkan saya tak ada telefon bimbit dan tak ada media sosial," katanya.

Ditanya sama ada dia ingin kembali sebagai orang di belakang tabir atau kembali beraksi sebagai pelakon, Pierre berkongsi minat mendalamnya sebagai orang di belakang tabir.

"Sebenarnya saya lebih suka bekerja di belakang tabir kerana itu adalah cita-cita saya sejak dahulu. Sebabnya saya tahu, saya tak cukup 'fit' dari segi fizikal.

"Bayangkan kalau sesuatu watak yang ditawarkan itu memerlukan saya untuk kuruskan badan, memang susah juga melainkan ada motivasi yang kuat.

"Insya-Allah, kalau dapat 'barang' yang sedap, mesti saya nak buat. Tapi, saya tak mahu buat hasil kerja yang cincai. Kalau dahulu, saya harapkan tawaran kerja sebab kalau tak ada kerja, saya tak makan.

"Sekarang saya dah ada sedikit 'kuasa' untuk memilih," katanya.

Berkongsi mengenai JPB2 yang diarahkannya, Pierre berkata, dia akan menggarap naskhah terbitan Metrowealth Movies Production Sdn Bhd itu mengikut acuannya sendiri.

"Saya nak cuba larikan garapan saya untuk membezakannya dengan garapan Abang Ahmad Idham (pengarah filem pertama).

"Kalau skrip ini diberikan kepada 10 pengarah berbeza pun, ia akan jadi 10 cerita berbeza. Insya-Allah, saya akan wujudkan identiti saya sendiri sebagai pengarah untuk filem ini.

"Tempoh 17 tahun adalah satu tempoh yang lama untuk saya hasilkan semula kesinambungan untuk filem ini.

"Banyak filem lain yang menggunakan jenama Jangan Pandang Belakang untuk dijadikan parodi. Itu lebih mudah untuk dihasilkan berbanding menghasilkan filem original," katanya.

Menjadikan filem seram dari Indonesia sebagai rujukan, Pierre akan menyuntik identitinya sebagai pengarah.

"Tentunya ia takkan jadi sama seperti JPB. Kalau saya gunakan pendekatan sama, saya takut filem ini jadi satu filem yang ketinggalan zaman.

"Dalam garapan lama, orang tahu teknik yang diguna pakai contohnya, hantu merangkak dan sebagainya. Kalau JPB ditayangkan di zaman sekarang, mesti kita akan nampak pelbagai kekurangan. Tapi, di era itu okay sahaja dan orang pun boleh terima.

"Jadi, kita tengok contoh filem dari Indonesia. Kebelakangan ini banyak karya berkualiti. Jadi, saya sekurang-kurangnya nak menyaingi garapan mereka.

"Saya akan cuba hasilkan teknik tersendiri kerana filem seram ini bukan mengenai hantu semata-mata. Ia membabitkan banyak faktor, contohnya mood, pencahayaan, kerja sudut kamera dan banyak lagi. Dari situ kita akan dapat rasakan keseraman itu sendiri," katanya.

Filem arahannya itu dibintangi barisan pelakon antaranya, Ruminah Sidek, Emma Maembong, Mawar

Rashid dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 6:00 AM