Oleh Amirul Haswendy Ashari


Lain pengarah, lain cara­nya. Ada yang perlukan bajet besar untuk menghasilkan hasil karya terbaik, ada pula yang ringkas pembikinan karya mereka tapi mampu memberi pulangan lumayan buat penerbit kerana aspek penceritaan menarik minat penonton ke pawagam.

Atas nama mahu terus berkarya, pengarah dan pelakon Pierre Andre sanggup menurunkan bayaran pengarahan daripada produser tempatan.

Pierre akui, dalam pasaran filem tempatan yang mengalami kemurungan dan kejatuhan kutipan filem mendadak, ada produser tempatan masih mahu menghasilkan filem tetapi terpaksa berfikir ba­nyak kali sebelum mengeluarkan bajet produksi.

"Saya bersyukur masih ada produser mahu menghasilkan filem walaupun keadaan tidak meng­izinkan. Malah, bersyukur ada yang beri kepercayaan kepada saya mengarahkan filem produksi mereka.

"Apabila dihampiri produser baru, saya tidak berani janji mendapat pulangan lumayan tapi saya boleh mengurangkan kos produksi, termasuk menurunkan bayaran saya sebagai pengarah," katanya.

Walaupun sedar menurunkan harga bayaran untuk diri sendiri bermakna merendahkan status pengarah berpengalaman sepertinya, Pierre percaya ia berbalik soal rezeki.

Baginya, kekangan bajet produksi membuatkan pengarah sepertinya perlu berfikir di luar kotak untuk berkarya. Apatah lagi apabila dalam keadaan begitu, selalunya dia lebih kreatif kerana akan berfikir dua kali ganda untuk men­dapat­kan shot dan hasil terbaik.

"Kita tidak boleh terlalu selesa apabila hanya mengharapkan bajet besar untuk menghasilkan filem bagus. Pun begitu, saya tidak nafikan bajet besar bagus untuk pengarah berkarya dengan lebih sempurna.

"Selama bergelar pengarah, banyak perkara saya belajar, ter­utama dari segi cara mengurangkan kos penerbitan. Selalunya kos akan dikurangkan melalui pemilihan lokasi penggambaran yang sesuai serta aspek teknikal lain," katanya.

Malah sejak akhir-akhir ini, kata Pierre, pengarah terpaksa bekerja dalam tempoh penggambaran yang sangat singkat untuk mengurang­kan kos produksi membabitkan sewaan peralatan penggambaran dan tenaga kerja mengikut hari.

Kata Pierre, antara filem bajet rendah arahannya dan pernah mendatangkan pulangan lumayan kepada produksi ialah Ustaz Mu Tunggu Aku Datang dan Highland Tower.

Dari situ, dia mengambilnya sebagai pengalaman apabila bekerja dengan produksi luar selepas keluar dari pengurusan MIG Talent.

Walaupun sedar tindakannya menurunkan bayaran pengarahan bukan tindakan terbaik, Pierre berharap ia tidak menghentikan minatnya untuk terus mengarah filem lebih baik pada masa akan datang.

Katanya, biarpun kadangkala terpaksa menurunkan bayaran pengarah, seandainya filem arahannya meletup di pawagam, produser selalunya mempunyai persepakatan lain sebagai tanda penghargaan.

Pierre kini mempertaruhkan filem terbaru arahannya, Cerita Hantu Malaysia yang bergenre omnibus seram. Ia ditayangkan di pawagam bermula 25 Disember lalu.

Selain sibuk mengarah, Pierre berkongsi kisah dirinya kini bergelar peniaga dengan membantu isterinya membuka butik di Setapak.

Butik itu akan bergerak sepenuh­nya 1 Januari ini menjual pelbagai pakaian wanita, terutama pakaian Muslimah.

"Sejak membantu isteri berniaga butik, saya rasa macam peniaga dan bukan pengarah filem!" kata Pierre berseloroh.

Pierre akui perniagaan ini sebenarnya dimulakan isterinya, Siti Nur Hidayah secara dalam talian sejak beberapa tahun lalu.

Apatah lagi, dek pengalaman isteri sebagai model satu ketika dulu, Pierre lebih banyak menyerahkan soal memilih jenis produk untuk dijual kepada isteri.

Malah, anak pelakon Khatijah Tan itu sering mengikut aktiviti jualan bazar di beberapa lokasi seluruh Lembah Klang bersama isterinya selepas berkahwin pada 2013.

"Selepas beberapa ketika, saya dapat merasai keseronokan jadi peniaga. Pada awalnya kekok sebab isteri menjual pakaian wanita, jadi hanya dia tahu apa yang sesuai atau tidak.

"Namun semakin lama, aktiviti ini lebih banyak mendatangkan rezeki buat kami. Pada masa ini, saya bercadang keluarkan topi (cap) menggunakan jenama sendiri kerana saya penggemar topi," kata­nya penuh harapan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 5:00 AM