KEMUNCULAN Wings di Pulau Pinang berjaya menarik kehadiran ribuan peminat tegar mereka.
KEMUNCULAN Wings di Pulau Pinang berjaya menarik kehadiran ribuan peminat tegar mereka.
Ridzuan Abdul Rahman


KEDATANGAN mereka ke Pulau Pinang sememangnya ditunggu-tunggu ramai. Justeru tidak hairanlah lokasi konsert di Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang diserbu peminat kumpulan rock ternama tanah air, Wings.

Lokasi ini menjadi saksi bersejarah bagi kira-kira 8,000 peminat rock pulang ke rumah dengan senyuman selepas dihiburkan persembahan mantap dan bertenaga daripada kumpulan legenda ini.

Aksi pembukaan Konsert Wings The Rock Emperor Penang Chapter dengan persembahan ala teaterikal itu juga difahamkan disambut dengan jeritan hangat peminat yang tidak sabar menanti aksi mereka.

Sebaik Datuk Awie, Eddie, Black, Edrie serta Syam melangkah masuk ke pentas utama, penonton semakin 'menggila' dan Wings pun mula memacu langkah memulakan persembahan dengan lagu Romania, Jumpa Hilang dan Lubuk Pusing.

Kehangatan malam disemarakkan dengan deretan lagu popular Wings yang lain seperti Bujang Senang, Bernafas Dalam Lumpur, Peronda Jaket Biru, Sayap Ilusi, Hukum Karma, Ingatkan Dia, Rantai, Nurnilam Sari, Opera Hidup, Awang Trasher dan Lipas Kudung.

Apa yang disajikan itu ternyata berjaya membuatkan penonton tenggelam dalam kelunakan vokal memukau Awie yang dilengkapkan dengan persembahan muzik mengasyikkan dari kumpulan itu.

Seakan dapat menjangka selera penonton, Wings juga mempersembahkan enam lagu popular iaitu Biarkan Berlalu, Intan Ku Kesepian, Belenggu Irama, Anugerah, Misteri Mimpi Syakilla dan Taman Rashidah Utama dalam persembahan secara medley.

Menariknya, Wings turut membawakan lagu-lagu 'tribute' yang mempopularkan nama Awie sebagai penyanyi solo iaitu Bara dan Dipenjara Janji yang turut dipersembahkan dengan lagu Like Hell, nyanyian asal kumpulan Loudness.

Tidak lupa, mereka juga mendedikasikan persembahan hebat itu untuk saudara muslim di Palestin menerusi lagu Allah Allah Aghisna diiringi dengan doa ikhlas memohon kesejahteraan penduduk di sana.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan 'otai masih berbisa' itu turut berkongsi bingkisan perancangan mereka bagi membawa 'show' Konsert Wings The Rock Emperor ke destinasi lain pula.

"Insya-Allah, kami mempunyai beberapa perancangan untuk membawa Wings The Rock Emperor ke destinasi lain. Setakat ini, semuanya masih dalam perancangan dan kini, kami sudah merisik dua lokasi pilihan yang didapati amat sesuai.

"Kami mahu datang dengan kelainan dan mempunyai perancangan untuk membawa Wings The Rock Emperor ke destinasi seterusnya. Industri muzik kita sekarang meriah dengan konsert, tetapi banyak persembahan tertumpu di kawasan Lembah Klang saja.

"Jadi, kami (Wings) memilih untuk menghiburkan peminat di lokasi lain. Jika tiada aral, konsert bakal berlangsung di Pantai Timur dan kami menjangkakan ia akan menjadi kenyataan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti. Doakan semua perancangan kami untuk membawa The Rock Emperor ke destinasi lain berjalan lancar," kata Awie.

Dihoskan oleh penyampai radio Kool 101, Haiza, Konsert Wings The Rock Emperor Penang Chapter adalah susulan kejayaan persembahan mega dengan konsep sama dibuat oleh mereka di Singapura dan Shah Alam, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 6:31 AM