KUMPULAN Wings ketika Sidang Media Wings the Rock Emperor - Penang Chapter. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
KUMPULAN Wings ketika Sidang Media Wings the Rock Emperor - Penang Chapter. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Waktu buat konsert di Shah Alam (Konsert Wings The Rock Emperor - Kuala Lumpur Chapter) baru-baru ini, kita ada segmen Tribute To Palestin. Saya berselawat lagu 'Allah Allah Aghisna.' Kita baca doa secara langsung di atas pentas diaminkan 9,000 orang. 

"Jadi saya rasa itu kejayaan besar untuk kita mengaminkan sesuatu doa yang baik untuk Palestin. Dan dalam masa yang sama juga, kalau kita nak tinggalkan kerja kita, bolehkah pihak yang menegur tinggalkan kerjanya?"

Demikian kata penyanyi kumpulan Wings, Datuk Awie mengulas pandangan beberapa pihak seperti agamawan yang meminta penggiat seni menghentikan konsert bagi menghormati penderitaan rakyat Palestin dan isu-isu lain. 

Menurutnya, jika pihak terbabit meninggalkan kerja, mampukah dia untuk menanggung keluarganya? 

"Kami pun berkeluarga, anak sekolah dan masuk universiti. Anak baru nak keluar dan hal-hal lain lagi. Ini adalah tanggungjawab saya dan perjuangan saya untuk keluarga dan kawan-kawan saya. 

"Jadi sebegitu juga dengan Datuk Siti Nurhaliza dan sesiapa termasuk Datuk M Nasir. Semua ini perjuangan mereka untuk keluarga. Seni itu adalah perjuangan untuk keluarga. 

"Kebetulan kita ini dilahirkan berseni. Ada kemampuan untuk menyanyi, buat lagu, berlakon dan sebagainya, duduk dalam seni. Jadi kita kena teruskan ini.

Awie, 56, berkata, Allah juga yang menentukan rezeki cara begini dan bukan mereka yang menentukannya.

"Jadi kenapa kita kena hentikan kerja kita? Sedangkan kita boleh berdoa setiap hari. Di atas pentas kita boleh doakan. Sebelum kita buat show ini pun kita buat solat hajat dulu, beri, sedekahkan kepada Palestin. 

"Kita tak perlu cerita kepada orang pun. Tapi sekarang dah buatkan kita riak bercerita. Akan datang pun kita akan buat lagi setiap kali buat show. Kita pun takut kepada dosa, semua orang takut kepada dosa tapi ini adalah kerja. 

"Jadi kita rancang dan kebaikan kita ini tak perlulah kita pamerkan sentiasa. Untuk mereka suruh kita berhentikan show pun, salah juga. Ia menyekat rezeki kami, menyekat rezeki anak, perut isteri sedang membesar. Dia nak makan apa kalau tak bekerja," katanya ditemui pada sidang media Konsert Wings The Rock Emperor - Penang Chapter, semalam. 

Wings akan menjayakan Konsert Wings The Rock Emperor - Penang Chapter yang akan berlangsung di SPICE Arena Penang pada jam 9 malam, 24 Februari nanti. 

Peminat setiap kategori tiket berpeluang memenangi lebih 700 hadiah cabutan bertuah menerusi kempen Gores & Menang.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 1:51 PM