WINGS akan tampil berbeza menerusi The Rock Emperor KL Chapter. - FOTO Aswadi Alias
WINGS akan tampil berbeza menerusi The Rock Emperor KL Chapter. - FOTO Aswadi Alias
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Peminat setia kumpulan rock legenda, Wings sememangnya terhibur setiap kali menyaksikan aksi mereka dalam mana-mana konsert yang diadakan.

Bagaimanapun itu tidak cukup memuaskan hati Datuk Awie dan anggota lain iaitu Eddie, Black, Edrie dan Syam.

Wings yang tidak mahu peminat bosan dengan persembahan sama kini tampil berbeza menerusi Konsert Wings: The Rock Emperor, Kuala Lumpur Chapter.

Mereka memilih konsep teaterikal untuk konsert yang akan berlangsung pada 16 Disember ini di Stadium Malawati Shah Alam.

"Konsert kali ini kita adakan dengan konsep tertentu. Sebelum jual konsert kita jual konsep dahulu. Kita dah buat di Singapura dan alhamdulillah berjaya di sana.

"Sekarang pihak sana tengah pening sebab apa, apabila konsert lain nak dibuat di situ mereka kena lawan konsep yang sudah kami buat. Konsep itu berjaya dan itu kami namakan The Rock Emperor.

"Dengan permainan lampu LED, ia berkonsepkan zaman Viking, zaman-zaman lama dulu. Konsepnya istana lama. Kami buat chandelier (lampu perhiasan) ditempah sendiri, kerusi yang ditempah sendiri di Singapura," kata Awie.

Menurutnya, Wings tidak mahu lagi tampil dengan konsep 'plug and play' yang dianggap zaman 'funfair' dulu-dulu.

"Kita dah melalui zaman itu. Sekarang zaman untuk 'educate' penonton yang datang, remaja yang mahu menceburi bidang persembahan. Sekarang kami buat KL Chapter.

"Selepas ini mungkin ada Penang Chapter dan Johor Chapter, insya-Allah. Ia sama seperti di Singapura namun diubah sedikit di Kuala Lumpur.

"Tapi penceritaan lebih kurang sama. Sebenarnya nak realisasikan dalam persembahan memakan kos yang tinggi. Kalau penganjur tak ada bajet besar susah nak buat," ceritanya.

AWIE sering memastikan kumpulannya serius apabila terbabit dengan konsert besar. - FOTO Aswadi Alias
AWIE sering memastikan kumpulannya serius apabila terbabit dengan konsert besar. - FOTO Aswadi Alias

LATIHAN berbulan-bulan untuk capai tahap memuaskan. - FOTO Aswadi Alias
LATIHAN berbulan-bulan untuk capai tahap memuaskan. - FOTO Aswadi Alias

Wings terpaksa menyimpan idea ini sehingga berjaya menemui penganjur di Singapura yang sanggup mengeluarkan modal dan membuktikan sesuatu yang berbeza dari tempat lain.

"Syukur ianya direalisasikan. Apabila bawa di Kuala Lumpur, penganjur bukan besar sangat, tapi mereka boleh jadikan apa yang diimpikan itu. Konsert ini penutup kami di Semenanjung manakala di Kota Kinabalu selepas ini penutup untuk 2023.

"Tahun ini kami banyak rehat. Terlalu banyak konsert pun 'no point' juga kerana orang asyik tengok benda sama. Jadi kita 'hold' sekejap. Tahun depan tukar buat benda lain pula.

"Tak nak kami sahaja, Wings nak bergabung pula. Lepas itu kami berehat sampai 2025 untuk capai 40 tahun Wings. Yang itu festival besar untuk Wings.

"Untuk konsert ini, Sayap-Sayap Wings buat pemilihan di Facebook. Rata-rata peminat nakkan lagu lama. Apapun ini tugasan yang kami tak ambil remeh," kata Awie.

Mereka memulakan latihan selama berbulan-bulan untuk mencapai satu tahap yang memuaskan.

"Kalau sambil lewa baik tak payah buat konsert. Tak dinafikan untuk cari konsep memang pening. Rezeki kami kerana dapat tajuk ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 6:01 AM