Awie pada persembahan Konsert Wings The Rock Emperor - Kuala Lumpur Chapter. Foto Hazreen Mohamad
Awie pada persembahan Konsert Wings The Rock Emperor - Kuala Lumpur Chapter. Foto Hazreen Mohamad
Zaara Talita


Shah Alam : Kumpulan rock 'otai' Wings mencetuskan rasa syahdu dan sebak dikalangan 9,000 penonton Konsert Wings The Rock Emperor - Kuala Lumpur Chapter ketika lagu selawat, Allah Allah Aghisna diperdengarkan dalam segmen khas buat Palestin di Stadium Malawati, di sini malam tadi.

Datuk Awie atau Ahmad Azhar Othman menyampaikan dengan penuh penghayatan lagu yang dipopularkan penyanyi negara seberang Nazwa Maulidia.

Malah, segmen berkenaan turut diakhiri doa memohon pertolongan yang dibacakan Awie sendiri.

Persembahan itu juga diselitkan dengan paparan video situasi genting di Gaza serta keadaan rakyat Palestin berdepan serangan Israel.

"Dalam kita suka, ada yang sedang berperang. Izinkan kami menghadiahkan lagu ini untuk pejuang di Gaza dan sama-sama kita doakan mereka," katanya.

Selain menunjukkan sokongan untuk Palestin, konsert mega pertama anjuran syarikatnya iaitu Rumah Produksi Merah dan Awie Entertainment itu turut dibahagikan kepada beberapa segmen sepanjang persembahan tiga jam itu.

Awie, 55, menguasai pentas dalam konsert bertemakan teaterikal yang menunjukkan aksi cemerlangnya memenuhi permintaan peminat iaitu Sayap Sayap Wings bersama rakan seperjuangan, Eddie, Black, Syam dan Edrie Hashim.

Dimulakan dengan lagu daripada album Menakluk Kosmos iaitu Adony Dari Paran, Kompilasi Pramayar dan Ingatkan Dia, momentum persembahan diteruskan bersama pemilihan 27 seleksi hits lain termasuk Jerangkap Samar, Bernafas Dalam Lumpur dan Nurnilam Sari.

Selain segmen penghargaan kepada komposer JS Kevin, band rock legenda yang bakal meraikan ulang tahun ke-40 pada 2025 turut membawakan lagu popular idola mereka seperti Holiday (Scorpion), Run For Your Life (The Beatles), Black Night (Deep Purple) dan Nobody's Fool (Cinderella).

Kumpulan rock lagenda itu turut menyampaikan beberapa lagu tambahan serta lagu wajib Sejati sebagai penutup persembahan.

Malah difahamkan penganjur menambah tempat duduk paling mahal memaklumkan merancang membawa konsert ini ke Pulau Pinang serta Johor.

Konsert Wings The Rock Emperor - Kuala Lumpur adalah susulan kejayaan persembahan mega dengan konsep sama di Singapura, Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 12:56 PM