Kumpulan Wings, Awie pada temubual Wings di Taman Hillview, Ampang, Selangor. FOTO ASWADI ALIAS
Kumpulan Wings, Awie pada temubual Wings di Taman Hillview, Ampang, Selangor. FOTO ASWADI ALIAS
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur : Penjualan tiket Konsert Wings : The Rock Emperor, Kuala Lumpur Chapter yang bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam pada 16 Disember ini hanya berbaki sekitar 20 peratus.

Penyanyinya, Datuk Awie, 55, yang bersyukur penjualan tiket sudah menjangkau 80 peratus merasakan apabila netizen memainkan isu konsert-konsert luar, konsert tempatan turut terbabit.

"Isu-isu ini yang membuatkan ramai yang teragak-agak mendapatkan tiket. Tapi, alhamdulillah 80 peratus dah terjual," katanya ditemui pada sesi latihan Konsert Wings The Rock Emperor dan kenduri doa selamat studio miliknya di Taman Hillview, Ampang, di sini.

Wings yang sebelum ini dipertikaikan kerana tetap meneruskan konsert mereka di sebalik penderitaan nasib penduduk Gaza di Palestin, mengharapkan supaya peminat memahami kerja mereka.

"Ini adalah jihad kami kepada keluarga yang kami perlu isikan mereka dengan makanan dan kasih sayang dan sebagainya. Ini kerja kami dan kami tiada kerja lain.

"Kerja kami adalah menyanyi dan bermain muzik. Jadi, kami tak boleh nak tunda atau hentikan. Kehidupan perlu diteruskan. Apapun jiwa kami tetap bersama Palestin.

"Kita ada sebuah lagu berkenaan Palestin yang akan dinyanyikan nanti. Kami akan perdengarkan nanti. Ia dipopularkan oleh seseorang tapi kami nyanyikan semula. Kalau nak cipta lagu baru dah tak cukup masa," katanya.

Bercerita lanjut, Awie berkata, dia sendiri mempunyai dua lagu untuk Gaza yang belum dikeluarkan.

"Satu dah dikeluarkan di Internet dan satu lagi belum. Yang ini kami nak buat untuk 'tribute' kepada Palestin dan sedikit doa untuk mereka di atas pentas," katanya.

Menerusi Konsert Wings: The Rock Emperor, Kuala Lumpur Chapter, Wings juga akan menyampaikan lagu-lagu tribute kepada band rock legenda antarabangsa antaranya Scorpions, Deep Purple, Loudness dan Cinderella.

"Kita pernah menumpang lagu mereka dulu sebelum Wings ada lagu dan album. Tarikh 16 Disember ini adalah hari untuk imbas kembali kenangan silam 38 tahun.

"Dulu kami main lagu-lagu mereka. Bayangkan 38 tahun dulu, dan sekarang kami mainkan semula bagi mengimbas nostalgia lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 1:19 PM