KEHADIRAN Wings di setiap lokasi disambut meriah oleh peminat.
KEHADIRAN Wings di setiap lokasi disambut meriah oleh peminat.
Ridzuan Abdul Rahman

SEJARAH gemilang kumpulan Wings menyaksikan kemunculan mereka menerusi album pertama, Belenggu Irama diterima baik peminat apabila album itu terjual sebanyak 60,000 unit, iaitu satu jumlah yang dianggap besar ketika itu.

Populariti mereka dipentas-pentas persembahan dan konsert juga tidak kurang hebatnya kerana Wings mampu beraksi dengan baik secara 'live' (langsung).

Nama Wings laris menjadi sebutan dan rebutan penganjur di sana sini antaranya Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong, Bayan Lepas.

Justeru, Datuk Awie dan empat rakan iaitu Eddie, Black, Sham dan Edrie mahu memastikan persembahan mereka menerusi Konsert Wings The Rock Emperor - Penang Chapter pada minggu hadapan akan meninggalkan kesan tersendiri di hati peminat.

"Syukur sangat apabila teringat semula persembahan kami (Wings) dulu diserbu penonton bukan saja dari Pulau Pinang tetapi juga dari Perlis, Kedah dan Perak Utara.

"Boleh dikatakan penganjur dapat tarik nafas sangat lega dan senyum lebar dengan sambutan diterima. kerana tiada istilah 'rugi' pun ketika itu.

"Namun, sedar tak sedar Wings sebenarnya sudah lebih 30 tahun tidak hadir buat konsert di sebelah bahagian pulau di Pulau Pinang," katanya.

Terdahulu, pada tahun lalu menyaksikan kumpulan yang sudah dilabelkan 'legenda' ini beraksi dalam Konsert Mega Marhaen di Mid Town Perda, Pulau Pinang yang menyaksikan kehadiran ramai penonton walaupun hujan lebat.

"Itulah sebabnya kami merancang konsert yang lebih gah, padu dan mantap buat peminat di Pulau Pinang seperti penganjuran Konsert Wings The Rock Emperor - Penang Chapter.

"Ia adalah rentetan daripada dua konsert terdahulu iaitu di Singapura pada 29 Julai tahun lalu dan Kuala Lumpur pada 16 Disember, tahun yang sama.

"Insya-Allah kami menjanjikan persembahan yang lebih hebat, lebih gempak dan lebih menghiburkan buat peminat Wings di 'Pulau Mutiara'," katanya.

Menurut Awie lagi, Wings sebenarnya sudah tidak sabar bertemu dengan peminat-peminat† di sebelah Utara tanah air.

"Jadi, persembahan di Pulau Pinang ini memang ditunggu-tunggu Wings kerana dapat mengimbas kembali saat-saat awal kemunculan kami di persada seni tanah air kira-kira 37 tahun lalu.

"Kami diterima amat baik oleh peminat di sini (Pulau Pinang) dan kehadiran mereka tidak mengecewakan. Begitulah juga harapan kami menerusi konsert kali ini," katanya.

Wings juga turun padang bertemu peminat di Pulau Pinang dan Taiping, Perak baru-baru ini sebagai bukti kesungguhan mereka mempromosikan konsert terbabit.

"Kami pergi ke Queensbay Mall, Pulau Pinang, Mydin Mall, Jalan Baru Bukit Mertajam dan AEON Mall Taiping pada program yang diatur khas itu.

"Sambutan yang diterima memang amat hebat dan mengujakan. Ternyata peminat juga tidak sabar menanti persembahan kami nanti," katanya.

Konsert Wings The Rock Emperor - Penang Chapter tampil dengan kelainan apabila Wings mengetengahkan konsep 'Gores & Menang' kepada penonton.

"Untuk setiap tiket, kita akan buat satu goresan yang mana dalam setiap 'gores' itu ada hadiah-hadiah tertentu yang istimewa akan dimenangi oleh penonton bertuah.

"Terdapat lebih 700 barangan akan diberikan kepada pembeli tiket Konsert Rock Emperor. Ia merangkumi semua pembeli dari tiket berharga rendah sehinggalah yang mahal.

"Barangan untuk dimenangi itu termasuk 'pre love' atau barangan terpakai Wings yang masih elok dan dijaga baik akan kita hadiahkan kepada pemenang-pemenang itu," katanya.†

Sehubungan itu, stesen Hot FM dan KOOL 101 dipilih sebagai Radio Rasmi Konsert Wings The Rock Emperor - Penang Chapter, manakala portal hiburan Xtra pula dipilih sebagai Rakan Media Digital Rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 6:30 AM