Ridzuan Abdul Rahman


USIANYA kini sudah menjangkau 55 tahun, namun tenaga, kemantapan vokal dan 'showmanship' di atas pentas, lagaknya bagaikan di usia 20-an.

Begitulah gambaran mengenai kehebatan penyanyi Wings, Datuk Awie yang mengemudi Konsert Wings The Rock Emperor - Kuala Lumpur Chapter di Stadium Malawati, Shah Alam, yang dihadiri 9,000 peminat, baru-baru ini.

Jelas, persembahan berkonsepkan teaterikal dengan tema ala 'viking' ditampilkan mereka benar-benar memukau semua yang hadir pada malam itu.

Bukan saja Awie, malah anggota lain iaitu Eddie (bass), Black (drum), Sham (gitar) dan Edrie (gitar), juga yang melewati usia 50-an tetap mantap dengan permainan masing-masing dalam konsert menjangkau tempoh tiga jam setengah ini.

Apapun, kata kunci untuk kejayaan konsert ini ialah Awie kerana jika dia gagal memainkan peranan yang berkesan sebagai penyanyi, pasti keseluruhan konsert ini akan gagal.

Awie ternyata bijak merencana 'mood' dan 'flow' persembahan mereka sepanjang konsert berlangsung sehingga penonton tidak berganjak walau untuk ke tandas sekalipun.

Sebelum ini, Awie pernah memberitahu, dia benar-benar mahu memastikan konsert ini meninggalkan kesan tersendiri apabila melakukan latihan mencukupi sebelum konsert mega itu dipentaskan.

Malah, dia turut berkorban tidur berasingan dengan isteri dan anak-anak bagi memastikan mendapat rehat secukupnya serta kesihatan terpelihara sebelum dan semasa konsert berlangsung.

"Kami ambil masa enam jam sehari lebih dua bulan untuk berlatih tiga jam pada siang dan tiga jam malam. Ini amalan kami sejak bujang.

KEMANTAPAN vokal Awie mengagumkan peminat.
KEMANTAPAN vokal Awie mengagumkan peminat.

"Dari mula bertapak, kami sudah anggap ini adalah kerjaya dan kena duduk dalam studio buat latihan. Konsepnya sama saja dengan orang bekerja dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

"Ada yang hari-hari menghadap kertas dan pen, begitu juga kami hadap gitar, mikrofon dan dram," katanya.

Aksi lincah sepanjang persembahan sememangnya mengagumkan. Namun b erlaku juga ujian buat Awie apabila pada hujung-hujung persembahan dia mengalami kekejangan otot.

"Saya fikir kekejangan ini berpunca daripada latihan atau diet sebelum naik pentas. Mungkin sesi latihan itu mengurangkan kadar kalsium dan potasium dalam badan, lantas tubuh jadi kejang," katanya.

Berbalik kepada konsert, Wings tampil dengan lagu pertama

Adone Dari Paran, Jumpa Hilang dan Lubuk Pusing yang diadunkan bersama semangat 'pahlawan' yang berperang di antara Awie, Sham, Edrie, Eddie dan Black yang terus memaku khalayak.

Mereka seterusnya menghiburkan menerusi lagu Cinta Seusia Kita, Komplikasi Pramayar dan Jerangkap Samar yang disampaikan dengan mantap oleh Awie sambil diiringi permainan muzik hebat oleh anggota lain.

Menepati janji mereka, konsert ini turut tampil dengan permainan cahaya, paparan video dengan seleksi lagu-lagu yang cukup mesra telinga iaitu Bernafas Dalam Lumpur, Gemuruh dan Ingatkan Dia.

Wings turut menampilkan segmen 'tribute' kepada band rock yang menjadi inspirasi mereka iaitu antaranya, Scorpions dengan lagu Holiday; Deep Purple (Black Night); Cinderella (Nobody's Fool); Loudness (Run For Your Life dan Like Hell).

AWIE tetap bertahan menghiburkan peminat walau diserang kejang otot pada akhir persembahan.
AWIE tetap bertahan menghiburkan peminat walau diserang kejang otot pada akhir persembahan.

Selain hebat menyanyi, tidak keterlaluan jika dikatakan Awie mempunyai ciri-ciri penghibur yang hebat.

Ada-ada saja dialog spontannya yang berbaur lucu diucapkan sehingga menggeletek hati penonton.

Lagu-lagu lain yang dinyanyikan ialah Nur Nilam Sari, Sekeping Kertas Bermaruah, Rock N Roll Lu Punya Suka, Awang Thrasher dan Dalam Kehadiran Sofiah.

Tidak ketinggalan tanda keprihatinan kepada Palestin, mereka turut menampilkan lagu Allah Allah Aghisna yang diiringi visual suasana di bumi Palestin yang sangat menyedihkan dengan dentuman bom dan bunyi peluru.

Segmen medley pula menampilkan Wings menyanyikan lagu-lagu hits seperti Intanku Kesepian, Belenggu Irama, Anugerah dan Misteri Mimpi Syakilla.

Diikuti pula dengan lagu berhantu Taman Rashidah Utama yang dicanang sebagai lagu terakhir.

Rupanya penonton tidak cukup puas dan meminta Wings terus beraksi walaupun jam sudah 12 malam.

Mereka akhirnya tampil dengan lagu Romania, Teori Domino, Jerangkung Dalam Almari, Harapan dan tentunya Sejati berjaya membuat penonton pulang dengan kepuasan maksima.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 8:41 AM