Roy ketika mengadakan busking.
Roy ketika mengadakan busking.
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Roy Ratnaku mendedahkan dirinya seakan diperlekehkan pihak tertentu apabila menawarkan RM200 hingga RM300 untuk mengadakan persembahan. 

Roy atau nama sebenarnya Mohammad Rauzan Alwi, 59, berkata, situasi ini berlaku apabila dia aktif mengadakan persembahan secara busking sehingga menyebabkan nilai bayarannya jatuh. 

"Harga saya lagi rendah dari buskers-buskers lain. Saya artis Malaysia sampai sekarang. Walaupun ada orang kata saya artis sendu atau apa sahaja, saya kata saya tetap artis dan saya dah banyak berjasa dalam industri muzik dalam dan luar negara.

"Separuh orang takut nak mengaku diri dia macam itu. Tapi saya cakap juga sebab itu hakikat, bukan cakap kosong. Gasaklah orang nak kata sombong atau apa. Berlagak atau apapun, mereka ada mulut.

"Saya dah lama 'established', bukan nak meninggi diri. Orang ramai tahu. Saya pernah jumpa artis-artis lama, Ahmad Jais dan Hamid Gurkha. Mereka mengadu kepada saya hal yang sama macam ini," tulisnya di Facebook.

 Roy yang pernah menganggotai kumpulan Lefthanded berkata, dia terperanjat mendengar cerita mereka sekali gus membuatkan dia malas untuk pergi show lagi.

"Sakitnya hati ini. Habis dipijak-pijaknya maruah saya ini sebab saya kerja busking. Macam mana bagus menyanyi, walau taraf antarabangsa pun tetap mereka kata sangat low class, sebab menyanyi di the lowest platform.

"Artis-artis yang kononnya superstar itu menyanyi sumbang mambang pun sanggup mereka bayar RM20,000. Orang kata dah rezeki dia, buat apa nak cemburu? Itu hakikatnya, bukan cemburu. Buat apa nak cemburu?," katanya. 

Roy berkata, dia sudah membuktikan kebolehannya menyanyi live dihadapan awam semasa busking, dalam TV, konsert, Anugerah Juara lagu TV3 , RTM dan Konsert World Jazz Festival.

"Entah-entah buskers lain pun tak buat macam saya, tapi tetap kata saya low class singer. Itulah hakikatnya.  

"Reda memang reda. Tahu itu ujian dari Allah. Hakikatnya, kerja busking memang mulia. Kejujuran dan keikhlasan dari kedua-dua pihak jelas kelihatan, si penyumbang duit dan si penyumbang seni. 

"Rasanya nama busking ini tak boleh pakai lagi..kena digantikan dengan nama "Pejuang Seni"... lebih sesuai. Pejuang seni ini rela dihina dan dicerca semata-mata nak menghibur insan lain sambil mencari rezeki halal," katanya. 

Malah Roy mengakui kebelakangan ini banyak melepaskan luahan perasaan yang agak drastik.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 7:03 PM