SINGLE Inspirasi nyanyian mereka memberi inspirasi kepada semua pihak untuk terus berjuang dalam hidup.
SINGLE Inspirasi nyanyian mereka memberi inspirasi kepada semua pihak untuk terus berjuang dalam hidup.
Ridzuan Abdul Rahman


Daripada pemuzik jalanan berstatus kelainan upaya (OKU), Caliph Busker diiktiraf dalam industri muzik arus utama tanah air apabila memenangi kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Romancinta di Anugerah Juara Lagu 29 (AJL29) pada 2015.

Ramai yang mengagumi persembahan mereka bersama MOJO sehinggakan Caliph Busker mendapat perhatian tanpa henti peminat.

Bagaimanapun semua itu kekal terpahat dalam lipatan sejarah dan kini Khairul Azmi Saat, Fendy Adlan, Mohd Zaki Ismail dan Nirwan Zainal Abidin masih meneruskan kelangsungan hidup dalam bidang seni.

Mereka kini tampil dengan single terbaharu berjudul Inspirasi yang diterbitkan Rubbertapper Production dan diedarkan oleh Universal Music.

"Lagu Inspirasi dihasilkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu. Pengarah Urusan Rubbertapper iaitu Datuk Reduan Yusof datang jumpa kita tawarkan buat satu lagu berkonsepkan inspirasi.

"Waktu itu, orang tengah berjuang nak lalui perjuangan masing-masing. Jadi beliau nak lagu yang memberi reaksi kepada semua orang. Beliau yang 'request' nak lagu yang macam mana.

"Selepas itu beliau bagi lirik dan tanya boleh tak macam ini? Jadi kita ubah-ubah sikit ikut apa yang sesuai. Rakaman pun dibuat di rumah kerana tak boleh keluar," kata Azmi.

Menurutnya mereka melakukan proses rakaman di rumah untuk menyiapkan lagu ini dan belajar sesuatu yang baru dalam karier.

"Lagu ini dirakam masa PKP tapi pada masa sama, Caliph Busker juga tampil dengan single Panah ciptaan Fendy menerusi projek bersama Papermusic dan JOOX. Namun kami sendiri tak tahu nasib lagu ini sekarang.

"Untuk Inspirasi, ia bersifat umum kerana setiap orang ada perjuangan masing-masing. Dalam perjuangan itu ada masa kita penat, kita rasa nak berhenti dari perjuangan dan sebagainya.

CALIPH Busker mahu menghasilkan lagu yang berkonsep catchy kepada peminat selepas ini.
CALIPH Busker mahu menghasilkan lagu yang berkonsep catchy kepada peminat selepas ini.

"Bagi saya, lagu ini nak menaikkan semangat agar jangan berhenti berjuang. Kalau kita teruskan perjuangan kita akan rasa manisnya nanti," katanya.

Menurutnya, Inspirasi lagu kedua ciptaannya selepas menghasilkan lagu Tulus menerusi kerjasama dengan Ezra Kong. Ia single ketujuh Caliph Busker.

Sepanjang pembabitan mereka sehingga kini, Caliph Busker mempunyai pengurusan sendiri yang mengendalikan aktiviti mereka.

Azmi berkata, mereka tidak mempunyai pengurusan yang cekap untuk berjuang dalam industri yang semakin mencabar ini.

"Kami pun tak nak terlalu ketat dalam industri kerana sepenuh masa bergelar pemuzik. Kami tak nak bernaung di bawah pengurusan terkenal kerana ada risikonya nanti.

"Kami bimbang mungkin ditakutkan seperti artis-artis lama contohnya, bila dah tandatangan kontrak dengan pengurusan besar, mereka tak bagi kita 'busking'.

"Macam artis-artis normal yang lain, mereka boleh cari makan dengan berniaga. Tapi kalau kami tak dibenarkan 'busking' di mana-mana, kami nak makan apa?," katanya.

Dek kerana itu, mereka mengambil keputusan bersederhana dalam setiap perkara.

"Busking pun kami buat tapi tidak terlalu kerap. Show pun kami ambil. Tiada konsert besar tapi orang masih kenal kami sebagai artis.

"Jadi memang memerlukan penelitian yang betul kuat baru boleh buat sesuatu untuk kami terus kekal dalam industri. Sejak PKP kami dah berhenti 'busking outdoor'.

"Lepas PKP kami dibenarkan busking di sesebuah lokasi itu seorang atau dua orang sahaja. Jadi kami ambil keputusan tak 'busking' satu kumpulan. Masing-masing buat hal sendiri dan akan jumpa bila ada show, praktis dan muncul dalam program MeleTOP," katanya.

Berbicara mengenai lagu-lagu yang boleh menambat pendengar, Azmi berkata, mereka mencari lagu yang agak ringan sekarang.

"Kami nak melodinya santai seperti lagu Santai Faizal Tahir. Melodinya memang 'catchy' dan boleh diterima ramai.

"Semestinya kami teringin nak bekerjasama dengan artis lain. Mungkin kami boleh belajar sesuatu untuk memajukan Caliph Busker," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 6:00 AM