OTT meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
OTT meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Beraksi corak permainan bebas menjadi resepi utama kejayaan Terengganu FC (TFC) ketika membenam cabaran Sabah FC pada aksi suku akhir pertama Piala FA Jumaat lalu.

Perkara itu didedahkan 'arkitek' skuad Penyu, Manuel Ott yang menyifatkan corak permainan sedemikian begitu digemarinya termasuk rakan sepasukan.

Lebih menggembirakan pemain import kuota Asia Tenggara itu apabila dia berjaya menjaringkan satu gol serta mencipta dua bantuan jaringan ketika pasukannya membelasah Sang Badak 4-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

"Ketika berdepan Sabah FC, kami menikmati perlawanan dengan mengamalkan corak permainan bebas iaitu kami tidak statik berada di posisi kami sahaja, sebaliknya jurulatih minta kami bertukar-tukar posisi.

"Saya gembira dengan corak permainan sebegini, begitu juga rakan sepasukan, lebih menggembirakan saya apabila berjaya meledak gol pembukaan selain dua bantuan gol.

"Bagi saya kemenangan besar itu disebabkan kami bermain dengan corak sedemikian tanpa sebarang tekanan selain sokongan padu lebih 15,000 peminat yang hadir," ujar Ott.

Bagaimanapun, bekas pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu mengingatkan dirinya serta rakan sepasukan agar tidak dibuai mimpi indah dengan kemenangan bergaya itu, sebaliknya perlu berwaspada.

"Kemenangan besar itu bekalan selesa sebelum menghadapi perlawanan timbal balik pada hujung minggu ini, namun masih banyak perlu diperbaiki apabila bertemu skuad itu nanti.

"Kami tidak boleh mengambil mudah lebih-lebih lagi kita tahu kekuatan pasukan lawan dibarisi ramai pemain Malaysia, tambahan pula Liga Super baru bermula dan pastinya perlawanan yang sukar nanti."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 9:28 PM