Pelakon, Iqbal Mazlan ketika ziarah Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang.  FOTO FAIZ ANUAR
Pelakon, Iqbal Mazlan ketika ziarah Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Ridzuan Abdul Rahman

[email protected].m

 

Klang: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mengotakan janji membantu pelakon Iqbal Mazlan yang ditimpa masalah hilang penglihatan secara tiba-tiba akibat jangkitan virus, pada 5 Mac tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Khadijah Ibrahim berkata, mereka akan mendapatkan slot untuk Iqbal menjalani pemeriksaan dengan pakar bedah mata terkenal, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad dalam masa terdekat. 

"Sebelum ini Iqbal ada memaklumkan  kepada saya yang dia pernah berusaha untuk mendapatkan slot temu janji  dengan Dr Muhaya, namun tidak berjaya.

"Saya sekarang tengah aturkan temu janji dengan Dr Muhaya untuk membawa Iqbal periksa mata.

"Saya sudah pun menghubungi pihak terbabit dan saya sendiri akan bawa Iqbal bertemu Dr Muhaya selepas saya pulang dari Langkawi minggu depan.

"Insya-Allah saya akan usahakan," katanya ditemui pada sesi penyerahan sumbangan oleh Karyawan di kediaman keluarga Iqbal di kampung 

Tok Muda, Kapar, di sini, hari ini. 

Khadijah hadir bersama Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez dan Timbalan Presiden Karyawan, Radhi Khalid. 

Terdahulu, mereka yang ditemui pada Majlis Semarak Zulhijah anjuran Karyawan di Surau Ibadurrahman Program Perumah Rakyat (PPR) Kampung Limau, Lembah Pantai, pada

28 Jun lalu berjanji untuk melawat Iqbal dan menghulurkan bantuan sewajarnya. 

Ditanya kos pemeriksaan dan rawatan yang mungkin agak tinggi terpaksa ditanggung Karyawan, Khadijah berkata, perkara itu akan diputuskan selepas mereka mengetahui hasil pemeriksaan  yang dijalankan.

"Buat  masa ini kita tengok dulu macam mana keadaannya. Itu paling mustahak.

"Selebihnya kita akan usahakan.kita akan cuba sedaya upaya untuk membantunya kerana kami  hanya mahu dia segera pulih," katanya yang memaklumkan Karyawan mungkin akan mendapatkan bantuan dari mana-mana pihak lain untuk membantu. 

Iqbal pula meluahkan rasa teruja dengan kesudian persatuan terbabit membantu memudahkan urusannya mendapatkan slot temu janji ini.

"Saya memang tak pernah putus asa dan sentiasa positif untuk merawat penyakit mata saya ini.

"Jika ada ikhtiar lain, saya tetap akan cuba. Saya memang sudah lama nak dapatkan slot untuk mendapatkan rawatan dengan Dr Muhaya iaitu sejak penghujung tahun lepas lagi tapi tak berjaya.

"Bila pihak Karyawan mahu membantu, saya sangat-sangat bersyukur," katanya.

Pemenang pertama program realiti Pilih Kasih ini hanya mampu melihat biasan cahaya pada mata sejak mengalami penyakit terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 7:01 PM