AB Hamid mencari rezeki dengan mengutip barangan terbuang dan terpakai daripada tong sampah untuk menyara keluarga. FOTO Ihsan Ab Hamid Othman
AB Hamid mencari rezeki dengan mengutip barangan terbuang dan terpakai daripada tong sampah untuk menyara keluarga. FOTO Ihsan Ab Hamid Othman
Redzuan Muharam


Kota Bharu: "Saya sudah ikhtiar cari kerja tetap namun tak ada rezeki jadi sanggup buat kerja ini janji dapat duit untuk sara keluarga.

"Apa pun terjadi, biar saya yang berlapar tapi bukan mereka," begitu rintihan Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal, Ab Hamid Othman, 50, yang kini mencari rezeki dengan mengutip barangan terbuang dan terpakai daripada tong sampah untuk menyara keluarga.

Katanya, pekerjaan itu dilakukan kerana desakan hidup untuk menyara isteri, Suraya Hasan, 42, dan lima anak berusia enam hingga 19 tahun selain membayar komitmen bulanan iaitu rumah sewa didiami mereka di Kampung Jaya Setia, Pantai Cahaya Bulan di sini

Demi kelangsungan hidup, Ab Hamid Othman juga sanggup ketepikan masalah kebas tangan kanan yang mengubah hidupnya menjadi OKU sejak enam tahun lalu.

"Ikutkan, puas sudah saya cuba cari kerja namun majikan mungkin berat tak ambil kerana faktor usia, masalah kesihatan dan status sebagai OKU.

"Memang sedih kerana jika saya ada kerja tetap, kehidupan kami sekeluarga boleh jadi lebih baik tapi inilah takdirnya.

"Paling buat saya rasa lebih sebak baru-baru ini apabila tiada duit langsung hingga mampu beri anak makan nasi goreng tanpa rencah saja setiap hari.

"Itu pun isteri masak nasi gunakan bekalan beras yang masih ada tapi apakan daya, saya sudah cuba namun belum mampu beri keperluan secukupnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Ab Hamid berkata, ada ketikanya dia keluar sendiri dan pernah juga ditemani anaknya untuk mencari barang terbuang dan terpakai.

Katanya, dia mencari barangan itu di sekitar tempat pembuangan sampah kawasan perumahan sebelum menjualnya.

"Hasilnya (barang ditemui untuk dijual) tak menentu kerana ada hari ada, tapi pernah juga tak ada langsung.

"Tapi saya cuba juga kerana kalau boleh nak berdikari dan pastikan dapat beri anak dengan isteri makan.

"Dalam keadaan sekarang, saya tak boleh duduk diam dan tunggu orang sekeliling bantu saja.

"Ia kerana walaupun ada terima elaun bulanan RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun ia tak cukup memandangkan banyak mulut nak disuap," katanya.

Ab Hamid berkata, selagi terdaya, dia akan terus berusaha mengerah keringat demi menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.

"Selagi terdaya, saya akan bertahan cuma ada rezeki lebih untuk membeli motosikal roda tiga satu hari nanti supaya boleh menggunakannya untuk cari rezeki.

"Ia kerana sekarang ini saya tak ada kenderaan, keluar pun dengan berjalan kaki jadi kalau hari hujan agak susah nak cari rezeki.

"Moga ada sinar buat saya dan keluarga keluar daripada kesempitan hidup ini," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan dan menghubunginya di talian 016-4444950.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 8:13 PM