LIZZY bersama suaminya, Siew Jim.
LIZZY bersama suaminya, Siew Jim.

Kuala Lumpur: Keinginan pelakon dan penyanyi, Elizabeth Tan, 30, untuk menimang cahaya mata semakin tinggi selepas hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga dengan doktor, Siew Jim, 33.

Elizabeth atau nama sebenarnya Elizabeth Tan Su Mei turut menzahirkan hasrat itu menerusi hantaran di Instagram, baru-baru ini.

"Tema 'pink' untuk raya berdua tahun ini. Harapnya Tahun Baru Cina tahun depan dah bertiga," katanya dalam hantaran foto bersama suaminya itu.

Penyanyi lagu Police Entry itu juga menyuarakan hasrat sama menerusi hantarannya ketika hadir ke majlis pengumuman jantina bayi pelakon, Puteri Aishah, minggu lalu.

"Cuba untuk sedut tenaga bayi untuk diri sendiri," katanya menerusi hantaran foto dia melagakan perutnya dengan perut Puteri Aishah.

Elizabeth yang mesra disapa Lizzy juga sempat membalas komen-komen mendoakan gilirannya pula hamil selepas ini.

Antara komen itu mengatakan jika mendekatkan perut dengan wanita hamil, boleh berjangkit hamil.

"Memang sebab itulah saya buat begini," katanya.

Lizzy pernah menyuarakan hasrat ingin menimang cahaya mata tahun lalu dan pada November tahun lalu memaklumkan masih berusaha dapatkan zuriat.

"Kami (bersama suami) mungkin akan cuba lagi dalam masa terdekat. Saya belum hamil. Kalau dapat, dapat. Saya tidak mencuba secara aktif, tapi tidak juga mencegah," katanya.

Lizzy mendirikan rumah tangga dengan Siew Jim pada 21 Mac 2021 di majlis kecil-kecilan yang dihadiri keluarga dan kenalan rapat bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pandemik Covid-19 ketika itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 3:12 PM