ELIZABETH Tan
ELIZABETH Tan
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Perasaan saya rasa macam kena buli kerana kemelut ini masih belum lagi selesai sampai sekarang."

Demikian kata penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan, 28, yang terpaksa menangguhkan hasrat untuk muncul dengan single baharu apabila kemelut bersama syarikat rakaman, Warner Music Malaysia belum berakhir.

Elizabeth yang mesra disapa Lizzy berkata biarpun kontraknya bersama syarikat itu sudah tamat pada awal Februari lalu, namun hingga kini dia masih belum mendapat surat hitam putih sebagai tanda pengesahan.

"Kemelut dengan syarikat rakaman terbabit belum berakhir. Biarpun pihak peguam saya ada menghantar surat kepada mereka, tetapi tidak dilayan. Jadi, saya pun tak berani nak bertindak hasilkan single baharu.

"Selagi tidak mendapat surat pengesahan hitam putih berkaitan kontrak yang sudah berakhir itu, saya tak boleh buat apa-apa untuk kerjaya nyanyian. Saya kena tangguhkan perancangan untuk single baharu kerana tak berani dan enggan perkara lain pula akan timbul nanti. 

"Ikutkan saya ada merancang nak muncul dengan single baharu, sekitar hujung tahun ini.Tapi, kena tunggu lagilah sehingga semuanya selesai kerana ia pendekatan yang lebih baik," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Lizzy atau nama sebenarnya Elizabeth Tan Su Mei yang popular dengan lagu Knock Knock dan Police Entry mengikat kontrak bersama Warner Music selama tiga tahun dan sudah pun berakhir.

Lizzy yang kini aktif dalam lakonan dan jadualnya padat sehingga akhir tahun nanti, turut membintangi drama Gerak Khas Undercover yang akan mula disiarkan pada Jumaat ini, jam 10.30 malam di TV3 sebanyak 30 episod.

Melakonkan watak Inspektor polis yang menjalankan tugas 'undercover', Lizzy berkata dia banyak terbabit dengan babak aksi yang dilakukan sendiri dan pernah mengalami kecederaan ringan seperti lebam pada badan.

Ditanya peneriman suami, Siew Jim dengan kecederaan ringan dialami, Lizzy berkata suaminya okey dan meminta dia lebih kental serta tidak berasa diri lemah.

"Suami okey saja bila tahu saya alami cedera ringan seperti lebam-lebam itu. Dia (suami) kata jangan lembik sangat, kena kuat dan terus bersemangat kerana lakonan adalah kerjaya saya," katanya.

Terdahulu, Lizzy hadir pada majlis sidang media virtual di Google Meet drama Gerak Khas Undercover yang turut membariskan pelakon seperti Erra Fazira, Datuk Aaron Aziz, Datuk Rosyam Nor, Salina Saibi, Raja Afiq dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 6:01 PM