AKUR apabila populariti merudum selepas berumah tangga, hadapi dengan hati terbuka.
AKUR apabila populariti merudum selepas berumah tangga, hadapi dengan hati terbuka.
Norhayati Nordin


ELIZABETH Tan atau mesra disapa Lizzy, 30, sememangnya menjadi tarikan peminat terutama dalam kalangan lelaki sebelum mendirikan rumah tangga atau berstatus isteri orang.

Bagaimanapun, perkahwinan 'mendadak' Lizzy dengan lelaki pilihannya, Dr Siew Jim pada 20 Mac 2021 pernah membuatkan ramai peminatnya 'patah hati'.

Memang Lizzy bijak menyimpan kisah cintanya selama itu.

Kini, selepas dua tahun, Lizzy terus bahagia melayari rumah tangga dengan Siew Jim walaupun mereka belum memiliki cahaya mata.

Namun, Lizzy mengakui popularitinya jatuh merudum sejak berkahwin.

Lizzy ketika ditemui berkata, rasa sedih itu tetap ada sedikit, tapi dia akur dengan realiti kehidupan.

Katanya, sebagai wanita apabila sampai jodoh akan berkahwin juga. Malah, takkan kerana nak kekal 'popular' dia perlu membujang.

"Sebagaimana wanita lain, saya juga ada keinginan untuk mempunyai keluarga sendiri. Jadi, untuk itu (berkeluarga) saya kena berkahwin dan takdir Tuhan mempertemukan jodoh saya dengan suami.

"Pada saya, apa yang berlaku dalam kehidupan sekarang adalah masa yang Tuhan sudah tetapkan. Jadi, saya menerima dengan hati terbuka kerana semua ini sudah Tuhan aturkan untuk saya," katanya ketika hadir meraikan majlis berbuka puasa Universal Music, baru-baru ini.

Mengulas mengenai jumlah tanda suka atau 'like' di media sosialnya yang didapati berkurangan, penyanyi lagu Knock Knock dan Police Entry ini tidak menafikan perkara itu.

"Dulu setiap kali saya muat naik apa-apa, 'like' pasti mencecah 100,000. Tapi, sekarang jumlah itu turun banyak dan hantaran dibuat selalu mendapat 'like' maksimum kira-kira 20,000 saja. Apa-apa pun, saya tahu tidak boleh paksa orang untuk terus suka pada kita. Itu hak masing-masing.

"Saya akan terus berkongsi hantaran yang diinginkan kepada pengikut di Instagram. Ia penting juga bagi memaklumkan sebarang aktiviti dan perkembangan kerjaya seni saya. Sama ada mereka (pengikut) nak beri 'like', terpulanglah," katanya.

TAMPIL dengan lagu raya, Raya Cun.
TAMPIL dengan lagu raya, Raya Cun.

Berbicara mengenai karier nyanyian, Lizzy berkata, dia gembira dapat muncul dengan lagu raya berjudul Raya Cun untuk sambutan Syawal kali ini.

Katanya, dia teruja dengan karya ciptaan trio komposer Diandra Arjunaidi, Mage dan Efry Arwis.

"Lagu Raya Cun ini ringkas saja kisahnya. Ia mengenai kecoh suasana kemeriahan pada pagi raya. 'Vibe' lagu ini memang gembira dan kita masukkan juga elemen penting seperti baju raya, duit raya dan sebagainya.

"Saya yakin lagu ini mesra pendengar kerana liriknya yang 'catchy' dan dekat dengan masyarakat Melayu ketika membuat persiapan meraikan Aidilfitri. Semoga lagu Raya Cun ini mendapat sambutan baik," katanya.

Lizzy berkata cabaran dihadapinya untuk merakamkan lagu raya itu adalah kekangan masa. Jelasnya, dia agak 'rushing' menyiapkan proses rakaman lagu kerana baru mengikat kontrak dengan Universal Music dan Lion Music Group pada bulan lalu.

Video muzik lagu Raya Cun sudah dilancarkan pada 7 April lalu di semua platform digital muzik. Di saluran YouTube Universal Music, lagu Raya Cun mencatat lebih 17,000 tontonan sejak beberapa hari lalu.

NAFI ‘anak emas’ produksi.
NAFI ‘anak emas’ produksi.

Anak emas Skop Productions?

Selain menyanyi, Elizabeth atau nama sebenarnya Tan Su Mei juga aktif mengembangkan bakat sebagai pelakon. Malah, dia dilihat banyak membintangi produk drama dan filem terbitan Skop Productions Sdn Bhd milik Datuk Yusof Haslam.

Ditanya apakah dia kini 'anak emas' kepada syarikat produksi itu, Lizzy berkata, ia mungkin kebetulan saja apabila banyak mendapat tawaran berlakon dengan Skop Productions. Katanya, dia tidak terfikir langsung soal 'anak emas'.

"Saya gembira kebanyakan drama termasuk filem yang dibintangi memang terbitan Skop Productions dan ia adalah rezeki. Sebenarnya, saya tak ada fikir atau rasa diri 'anak emas' pun kerana pembabitan saya berlakon kerana tawaran diberikan.

"Saya juga sudah selesa bekerjasama dengan Skop Productions dan tahu cara kerja mereka. Kami di lokasi penggambaran sesama pelakon dan kru produksi pun saling membantu dan bekerjasama dengan baik," katanya.

Lizzy berkata, dia amat berterima kasih dengan Skop Productions kerana yakin dan sentiasa memberi peluang kepadanya sebagai pelakon.

Katanya, dia sendiri sukar menolak apabila mendapat tawaran daripada produksi itu.

Antara karya lakonan Lizzy bersama Skop Productions setakat ini ialah Misteri Dilaila, Abang Long Fadil 3, Gerak Khas, Gerak Khas Undercover dan Special Force Anarchy.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 6:20 AM