Elizabeth Tan. FOTO ihsan Viu Malaysia
Elizabeth Tan. FOTO ihsan Viu Malaysia
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Keutamaan terhadap karier seni membuatkan penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan atau Lizzy, 30, terpaksa melupakan hasrat untuk memiliki cahaya mata pada tahun ini.

Elizabeth berkata, dia sebenarnya sudah merancang untuk hamil dan menimang cahaya mata pada tahun ini kerana usianya semakin meningkat.

"Saya sebenarnya amat inginkan anak lebih-lebih lagi pada usia sekarang yang bakal menginjak 30 tahun. Tapi saya khuatir tak dapat bekerja untuk tempoh lama, selain tawaran lakonan yang mana mungkin berubah selepas bergelar seorang ibu nanti.

"Tak pastilah apa yang patut saya lakukan selepas ini. Memang mahukan anak, tapi saya tak pasti sama ada itu adalah langkah yang betul untuk saya buat masa ini kerana masih banyak perkara yang saya mahu capai dalam kerjaya seni saya sebelum ia menjadi perlahan," katanya ditemui di lokasi penggambaran siri original Viu W: Two World di Jalan Lapangan Terbang Lama, Sungai Besi di sini, hari ini.

Elizabeth kelihatan seperti berada di dalam dilema dan tertekan memikirkan perkara ini sehingga mengalirkan air mata.

Tambahan pula, perkara ini perlu diperhalusi sebaiknya memandangkan ibunya juga sudah berusia.

"Saya cuma berharap semuanya akan berjalan dengan baik. Saya sebenarnya memikul tanggungjawab yang besar membantu suami mencari pendapatan untuk menanggung keperluan keluarga.

"Saya perlu berlaku jujur, suami saya hanya seorang houseman (doktor pelatih) yang mana pendapatannya tidaklah terlalu tinggi.

"Jadi banyak komitmen seperti tanggungan ibu bapa, bayaran rumah, kereta yang perlu saya tanggung. Saya tidak mahu mengecewakan sesiapa.

"Sejujurnya saya tertekan. Tapi ya, saya memang mahukan anak. Saya berharap semuanya akan okey dan berjalan seperti yang dirancang Tuhan," katanya.

Elizabeth atau atau nama sebenarnya, Tan Su Mei berkahwin dengan Siew Jim pada 20 Mac 2021 dalam majlis tertutup yang dihadiri keluarga dan kenalan rapat kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 4:07 PM