Syafil Syazwan Jefri


SEBUT saja judul lagu Sial, tentunya kita dapat membayangkan lantunan vokal serta 'belting' hebat penyanyi Indonesia, Mahalini, dialun dengan dendangan melodi indah serta jalan cerita penuh emosi.

Tanggal 3 Februari lalu menyaksikan penyanyi kelahiran program Indonesian Idol itu hadir menghangatkan pentas Mega Star Arena Kuala Lumpur menerusi Konsert Lovechestra Mahalini.

Saat wajah manis dan suara merdunya memukau ribuan penonton yang hadir, Mahalini atau nama sebenarnya Ni Luh Ketut Mahalini Ayu Raharja selesa bercanda untuk 'melembutkan' suasana konsert mega itu.

Pantang mendapat ruang, Mahalini mencuit hati peminat dengan gurau senda yang membuatkan setiap roh dan jasad yang berada di ruang acara konsert tidak kering gusi.

Di pentas, Mahalini mempersembahkan lagu-lagu popularnya dari album Febula dan tidak lupa juga, turut melantunkan beberapa baris kata dari lagu Penyanyi Nombor Satu Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Bukan Cinta Biasa.

Bawa Dia Kembali, Buru Buru, Pecahkan Hatiku, semuanya dilontarkan dengan penuh rasa satu persatu. Tidak hanya itu, Mahalini juga 'memujuk' penyanyi, Aisha Retno untuk berduet lagu Aku Yang Salah.

Setiap lagu yang didendangkan umpama membawa peminat berlayar masuk ke dalam kehidupan dan pengalamnnya. Antaranya, untuk persembahan lagu Melawan Restu.

"Ada yang bercinta, tapi berbeza agama tak?" soalnya sebelum menyampaikan lagu itu.

Paling menyentuh emosi adalah ketika dia menyampaikan lagu Sisa Rasa, di mana turut dimainkan klip video kenangannya bersama mendiang ibunya.

"Ibuku meninggal dunia secara tiba-tiba dan aku tak berkesempatan berkongsi rasa bahagia dapat mengadakan konsert sebegini bersamanya," katanya.

MAHALINI tampil di acara Konsert Lovechestra Mahalini ditemani tunangnya, Rizky Febian.
MAHALINI tampil di acara Konsert Lovechestra Mahalini ditemani tunangnya, Rizky Febian.

Selain itu, pentas Konsert Lovechestra Mahalini turut diceriakan dengan kehadiran cinta hatinya, Rizky Febian. Kedua-dua mereka menyampaikan tiga lagu duet iaitu Satu Tuju, You're Mine, Selaras Kata.

Penutup acara, Mahalini mempersembahkan lagu 'berhantu', Sial yang dipersembahkan di hadapan tempat duduk tetamu kehormat.

Yang pasti, Konsert Lovechestra Mahalini akan menjadi kenangan terindah bukan saja buatnya sebagai penyanyi, tetapi juga peminat-peminatnya di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 6:35 AM