Rizky Febian
Rizky Febian
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi dari Indonesia, Rizky Febian, mengakui kurang selesa untuk berbicara mengenai pilihan menukar agama tunangnya, Mahalini yang beragama Hindu sebelum melanjutkan hubungan mereka ke jenjang pelamin.

Rizky, 25, berkata, dia dan Mahalini sudah berbincang mengenai perkara itu dan meminta agar didoakan untuk kelancaran hubungan dan majlis mereka.

"Kami sudah berbicara mengenai agama. Doakan proses hubungan kami diberikan kelancaran.

"Saya sedang berbincang mengenai hal itu. Jadi saya mohon doakan kami sampai ke jenjang pelamin," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Rizky, keluarga kedua-dua belah pihak juga sudah berbincang mengenai perkara itu.

"Kami sudah berbincang bersama keluarga kedua-dua belah pihak dan saya rasa sangat gembira kerana kedua-dua belah pihak dapat menerima satu sama lain," katanya.

Ditanya mengenai langkah Rizky dalam memperkenalkan Islam kepada tunangnya, Rizky berkata, dia menunjukkan tindakan sebagai contoh.

"Secara peribadi saya sudah tunjukkan contoh kepadanya. Saya adalah orang yang tak suka memaksa kerana perkara berkaitan dengan kepercayaan ini tidak boleh secara paksaan jadi biarkan waktu berjalan," katanya.

Rizky bagaimanapun tidak memberikan sebarang tarikh spesifik untuk pernikahannya.

Untuk rekod, Rizky dan Mahalini mengikat tali pertunangan pada Mei lalu. Rizky ditemui di sesi sidang media Konsert Berona Day yang berlangsung hari ini di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur.

Konsert kedua Rizky di Malaysia itu akan berlangsung pada 3 November depan bertempat di Megastar Arena, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 3:19 PM