Zaara Talita


DIBANJIRI dengan kehadiran 2,400 peminat dalam konsert sulungnya, Rizky Febian Live In Kuala Lumpur, penyanyi ini menampilkan persembahan yang cuk

up 'intimate' sekali gus mengubat kerinduan peminat terhadap lelaki berusia 24 tahun ini.

Pada malam itu juga, Rizky membawakan 16 buah lagu terbaiknya antaranya Hingga Tua Bersama, Ragu, Mantra Cinta, Kesempurnaan Cinta dan Cuek turut bersyukur dengan penerimaan peminat di Malaysia terhadap karya-karyanya.

Sepanjang dua jam persembahan, Rizky telah membawakan lagu-lagu 'berhantu' sejak permulaan kerjaya dari tahun 2015 dan berjaya memberi persembahan yang cukup luar biasa sehingga membuatkan semua penonton puas.

Berkongsi mengenai pemilihan 16 buah lagu yang dibawakan, Rizky menitikberatkan permintaan peminat dan tidak hanya

'syok sendiri' ketika berada di pentas.

Berbaloi. Itulah ungkapan yang paling bersesuaian untuk merangkumkan konsert yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur baru-baru yang diterbangkan khas oleh Jay Events and Media.

Buat yang tidak tahu, Rizky pernah ke Malaysia pada 2020 untuk mempromosikan single Hingga Pada Waktunya menampilkan Aisyah Aziz.

RIZKY Febian ketika mengadakan konsert di Zepp, Kuala Lumpur.
RIZKY Febian ketika mengadakan konsert di Zepp, Kuala Lumpur.

Dia mempamerkan kebolehan berkomunikasi apabila sempat menyelitkan perkongsian perjalanan hidup yang bertepatan dengan lagu yang dipersembahkan.

Malah, dia juga sempat membuat penonton sebak apabila menyampaikan lagu Indah Pada Waktunya yang didedikasikan kepada arwah ibunya.

Mengakui konsert pertamanya di KL sangat istimewa kerana bukan sahaja memberikan sebuah pengalaman baharu dalam kerjaya seninya, malah menjadi konsert pertama yang dihadiri keluarga dan kekasihnya, Mahalini.

Lebih manis lagi, ketika lagu Seperti Kisah dimainkan, telah muncul paparan layar videonya yang menampilkan kekasihnya dan detik terindah bersama Rizky.

ANTARA peminat yang menyaksikan persembahannya di ibu negara.
ANTARA peminat yang menyaksikan persembahannya di ibu negara.

Rizky sempat berkongsi sedang melalui fasa takut akan kehilangan seseorang yang ditujukan khas buat kekasih hatinya itu.

Mahalini yang dijangka turut membuat kemunculan di pentas bagaimanapun memberikan sokongan dari tempat duduk penonton.

Selain Mahalini, konsert itu turut dihadiri ahli keluarganya bagi memberikan sokongan moral seperti ayahnya yang juga pelawak dari Indonesia, Sule serta adik-beradiknya.

Selain dihiburkan dengan kelunakan vokal Rizky atau lebih mesra dengan sapaan Iky, peminat yang hadir turut berpuas hati dengan sistem bunyi dan video latar yang hebat menjadikan konsert ini sebuah kenangan yang sukar untuk dilupakan.

Bukan itu sahaja, kehadiran kumpulan iringan juga menjadikan konsert ini lebih meriah. Hampir semua lagu telah digubah dan dipersembahkan dengan penuh tenaga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 6:30 AM