Awie
Awie
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie mengakui lebih mengutamakan persahabatan dan kepentingan anggota kumpulannya berbanding diri sendiri. 

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 55, berkata, beliau menghargai nilai persahabatan apabila sanggup susah dan senang bersama mereka.

"Saya tak akan sesekali membelakangkan anggota Wings yang lain demi kesenangan sendiri. Di belakang saya ada barisan anggota Wings yang masing-masing berkeluarga, ada anak dan isteri untuk disara. 

"Kalau saya ambil kerja berlakon atau tawaran beraksi solo, tiadalah persembahan daripada Wings. Jadi, kawan-kawan saya nak makan apa?

"Kalaulah saya pentingkan diri, nak senang sendiri, dah lama saya dahulukan tawaran solo, tak kiralah menyanyi atau berlakon. Saya ada kawan-kawan yang perlu saya jaga.

"Sikap penting diri akan membuatkan kita hilang sahabat. Saya tak mahu itu berlaku, justeru saya dahulukan komitmen bersama Wings," katanya.

Menurutnya, ada ketika dia didatangi tawaran menyanyi solo dan pada masa sama turut didatangi tawaran beraksi dengan Wings dan itu pasti lebih menjadi keutamaan. 

"Saya rela lepaskan persembahan solo, meskipun tawaran itu lumayan habuannya. Untuk saya seorang dikira agak lumayan. Namun, biarlah saya dahulukan Wings.

"Ini bukan kerana nak jaga hati sesiapa, tapi lebih kepada menjaga rakan yang seperti saya, perlu mencari rezeki untuk kelangsungan hidup.

"Namun, jika ada tawaran solo yang saya ambil, saya akan gunakan pemuzik lain tanpa Wings. Ia kerana nilai Wings eksklusif dan mahal. Saya takkan bagi harga mereka sewenang-wenangnya kerana mereka perlu dihargai," katanya. 

Sehubungan itu, Wings akan menjayakan Konsert Wings The Rock Emperor - Penang Chapter yang akan berlangsung di SPICE Arena Penang pada jam 9 malam, 24 Februari nanti. 

Difahamkan peminat setiap kategori tiket berpeluang memenangi lebih 700 hadiah cabutan bertuah menerusi kempen Gores & Menang yang dianjurkan. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 3:41 PM