WINGS. FOTO Arkib NSTP
WINGS. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Kumpulan Wings yang dianggotai Datuk Awie (penyanyi), Eddie (bass), Black (dram), Syam (gitar) dan Edrie (gitar) bakal berangkat ke Makkah untuk mengerjakan umrah pada 16 November ini.

Awie berkata, ia menjadi impian besar dan bermakna mereka untuk beribadah bersama-sama di Makkah selepas bersahabat baik sejak sekian lama.

"Insya-Allah, pergi berlima saja. Kami pun dah berpuluh tahun bersahabat. Apa benda yang kami tak buat lagi adalah beribadah bersama-sama. Itulah cita-citanya. Sekurang-kurangnya adalah benda yang kami boleh kenang sampai bila-bila.

"Kami menyanyi bersama, bermain muzik bersama, berdoa bersama dan bertaubat bersama. Itulah benda yang paling 'happy' (gembira) sekali, syukur Alhamdulillah," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya juga mengenai perancangan umrah itu, Awie berkata, dia mula terfikir dan mencadangkan kepada anggota Wings yang lain ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Lima tahun lalu, Awie pernah mengerjakan umrah.

"Saya mencadangkan kami pakat-pakat sebab selepas saya pergi (umrah) pada 2018 dulu, saya rasa macam nak ajak kawan-kawan juga. Jadi, apabila Allah dah buka semuanya semula dan lega dengan PKP pun tak ada lagi, Alhamdulillah, rezeki 'show' pun banyak.

"Maka, saya katakan kenapa tidak kita simpan sedikit duit ini dan pergi bersama-sama (umrah). Syukur, nampaknya sambutan itu diterima baik anggota Wings dan kami terus buat keputusan. Saya pun carilah agensi umrah berkaitan dan kami akan pergi berlima dulu," katanya memaklumkan bakal berada di Makkah selama dua minggu.

Sementara itu, bercakap mengenai perancangan Wings yang dikhabarkan turut berehat seketika selepas pulang dari umrah, Awie berkata, mereka cuma tidak akan terbabit dengan konsert besar.

"Wings akan berehat seketika selepas balik dari umrah nanti bagi memberi tumpuan terhadap kerja-kerja dalam studio untuk menyiapkan album terbaharu kami yang sudah lama tertangguh sebelum ini.

"Insya-Allah, saya akan masuk studio pada Januari depan dan kami dijangka berehat lama sehingga Mei 2023. Ini kerana kami rasa tiba masa berehat sekejap agar peminat tidak bosan jika asyik keluar saja.

"Tahun ini pun dah banyak sangat kami keluar dan aktif. Jadi, kami nak berehat sekejap untuk menyiapkan album baharu yang akan memuatkan 10 lagu dan diterbitkan juga dalam bentuk fizikal cakera padat (CD)," katanya.

Awie berkata, sehingga kini untuk album baharu Wings itu, mereka sudah ada 20 buah lagu yang masih dipilih mana sesuai untuk dimuatkan.

Katanya, Wings juga terbuka menerima lagu-lagu baharu lagi untuk dibuat penilaian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 4:09 PM