AIDAIL Aiman bergandingan bersama Noraizat bagi saingan double. FOTO Ihsan Persatuan Sepaktakraw Malaysia
AIDAIL Aiman bergandingan bersama Noraizat bagi saingan double. FOTO Ihsan Persatuan Sepaktakraw Malaysia
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemain sepak takraw double Malaysia, Aidil Aiman Zawawi optimis skuad negara mampu melangkah ke final dalam Piala Dunia Sepak Takraw yang berlangsung di Stadium Titiwangsa.

Jelasnya, selepas menjalani latihan beberapa bulan bersama pasangannya, Noraizat Nordin, mereka berjaya membentuk keserasian yang baik di gelanggang dan usaha mencari kekuatan untuk memburu kemenangan dalam setiap perlawanan.

Tetapi, dia menyedari pasukan negara bakal berdepan lawan sukar di separuh akhir nanti iaitu Indonesia dan itu juga akan menjadi penghalang buat mereka sebelum ke perlawanan akhir.

"Setakat sekarang ini, saya dengan Aizat dalam latihan semuanya ok. Alhamdulillah, tidak ada masalah. Prestasi dalam latihan pun baik. Kami yakin boleh muncul juara kumpulan dan melangkah ke pusingan seterusnya.

"Kalau ikut prestasi, kami boleh mara jauh dan bila bertemu Indonesia, perlawanan ini akan jadi terbuka dan peluang adalah 50-50 buat kedua-kedua pasukan untuk menang," katanya ketika ditemui Arena Metro.

Selain itu, bagi menghadapi situasi itu, dia dan rakannya termasuk jurulatih sudah mengkaji kekuatan lawan melalui penilaian video dan dari situ, mereka mendapat sedikit sebanyak maklumat penting yang boleh digunakan dalam perlawanan akan datang.

Bagi pasukan double Malaysia, skuad negara diundi berada dalam Kumpulan A bersama Jepun dan Brunei.

Di suku akhir nanti, mereka dijangka bertemu Korea Selatan sebelum ke separuh akhir dan musuh tradisi dalam sukan sepak takraw, Thailand pula dijangka tiada masalah untuk ke final dalam acara berkenaan.

Malaysia akan membuka tirai perlawanan pertama menentang Jepun pada esok jam 6.30 petang sebelum menutup peringkat kumpulan bertemu Brunei pada hari Isnin ini jam 9.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 5:11 PM