Onew akan berkunjung pada 27 Julai depan.
Onew akan berkunjung pada 27 Julai depan.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Artis serba boleh Korea Selatan, Onew, 35, bakal berkunjung buat pertama kali ke Malaysia menjayakan acara Guess! Onew Fanmeeting in Malaysia 2024  pada 27 Julai depan, berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Kedatangan Onew atau nama sebenarnya, Lee Jinki semestinya mengujakan peminat di sini selepas 16 tahun menjadi anak seni. Bahkan, dia sendiri tidak sabar melawat Malaysia.

"Jumpa anda di Guess! Onew Fanmeeting in Malaysia 2024. Ada kejutan menanti dan saya tidak sabar untuk bertemu anda," katanya menerusi sebuah mesej ringkas sempena kedatangannya nanti.

Acara cukup bersejarah itu dibawakan MND Sport & Event Sdn Bhd & JS Concert Productions yang sangat berbangga akhirnya dapat membawa Onew ke sini.

"Kami sangat teruja dan berbesar hati untuk membawa Onew buat kali pertama dalam sejarah pembabitan kerjayanya selama 16 tahun untuk menghadiri sesi bertemu dan beramah mesra dengan peminat di Malaysia.

"Kami berbangga acara ini tidak akan dilupakan oleh semua peminat terhadap pertemuan utama ini. Sebagaimana terujanya peminat untuk beramah mesra dan bertemu Onew, kami akan pastikan acara itu memenuhi jangkaan ramai," kata jurucakap MND Sport & Event Sdn Bhd, Harith Daniel.

Harith berkata, pihak percaya acara Guess! Onew Fanmeeting 2024 In Malaysia akan mendapat sambutan luar biasa, apatah lagi, peminat sudah lama menantikan kehadiran Onew.

"Dengan pelbagai pencapaian yang dicapai sejak album pertama pada 2008, Onew juga terkenal dengan keampuhan vokal yang mengagumkan dan sudah mengeluarkan dua album studio solo.

"Jadi, kehadiran Onew pastinya akan diraikan peminat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 4:41 PM