Awie minta masyarakat tidak pandang serong artis dijemput untuk menghiburkan peminat ketika kempen PRU. FOTO  ROHANIS SHUKRI
Awie minta masyarakat tidak pandang serong artis dijemput untuk menghiburkan peminat ketika kempen PRU. FOTO ROHANIS SHUKRI
Ridzuan Abdul Rahman


VOKALIS kumpulan Wings, Datuk Awie, 50, mendedahkan pernah ditawarkan jawatan dalam sebuah parti politik suatu ketika dulu.

"Arwah bapa saya ketua cawangan sebuah parti politik dan saya tahu apa itu politik.

"Ramai juga kawan-kawan saya yang menjawat jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sana sini.

"Jadi, saya mengaku pernah ditawarkan jawatan ketua pemuda cawangan dan ketua bahagian tetapi saya memikirkan sahabat-sahabat saya dalam Wings dan tidak jadi berbuat demikian. Jika tidak, sudah lama saya berkecimpung dalam politik," katanya.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, dia memang berminat menyertai politik secara serius tetapi apabila memberitahu bapanya, hasrat itu segera ditentang.

"Kamu penyanyi dan pelakon serta diminati semua kelompok masyarakat. Buat apa kamu cari musuh?

"Kata-kata bapa itu buat saya tersedar dan akhirnya buat keputusan tidak perlu menceburi politik," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Dalam pada itu, Awie meminta masyarakat tidak memandang serong terhadap golongan artis yang dijemput untuk menghiburkan peminat ketika kempen PRU-14 berlangsung.

"Siapa yang panggil, saya akan pergi kerana saya cari makan. Begitu juga dengan artis lain yang dapat tawaran.

"Ia bukan masalah kerana kami cari makan dengan menyanyi.

"Bagaimanapun berbanding PRU13, tawaran agak berkurangan pada PRU kali ini.

"Keadaan agak genting kepada kerajaan sehingga membuatkan mereka tidak mahu mengeluarkan kos untuk perkara yang bukan-bukan dan terpaksa menggunakan strategi lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 5:31 PM