AWIE
AWIE
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Konsert Wings The Rock Emperor - Penang Chapter di SPICE Arena Penang, Pulau Pinang, malam ini bakal menampilkan kelainan apabila mereka akan memainkan lagu-lagu dari album solo penyanyinya, Datuk Awie.

Awie, 55, berkata, ia tidak pernah berlaku dalam mana-mana konsert Wings sebelum ini di mana dia menyanyikan lagu-lagu solo popularnya seperti Di Penjara Janji, Bara, Ratuku, Ukiran Jiwa dan banyak lagi.

"Sebenarnya saya sendiri pun tak nak menyanyi lagu-lagu solo saya dalam konsert Wings, tapi bila difikirkan ia adalah satu kelainan.

"Kita pun 'tribute' hari itu (di Shah Alam) untuk legenda antarabangsa. Kenapa tidak buat untuk lagu-lagu saya (Awie) pula?

"Anggota Wings pun setuju untuk mainkan. Itu satu bonus untuk saya juga dan satu bonus untuk Wings serta bonus untuk peminat-peminat kami," katanya.

Menurutnya, menerusi undian yang dibuat, peminat setia Wings meminta mereka memainkan lagu-lagu solo Awie terlalu banyak tetapi dia menolaknya.

"Kami tak nak la terlalu banyak sangat. Kita bagi yang berpatutan. Lagu-lagu yang jarang dimainkan, lagu hit kita bagilah.

"Antara lagu yang bakal dinyanyikan ialah Bara, Di Penjara Janji dan banyak lagi. Kenalah datang menonton untuk dengar sendiri lagu lain yang dibawakan malam ini," katanya.

Awie turut berterima kasih kepada anggota Wings seperti Eddie (bass), Black (drum), Sham (gitar) dan Edrie (gitar) kerana bersetuju mengangkat karier solonya duduk di atas satu pentas dengan Wings.

"Apapun saya agungkan Wings dan tak nak lagu solo saya duduk di situ. Bukan apa, saya tak nak terganggu. Kadang-kadang permintaan ini boleh mengakibatkan rosak dan retaknya hubungan.

"Jadi saya tak nak benda-benda ini berlaku. Tujuan kami hanya untuk bagi sesuatu kepada penyokong. Untuk Pulau Pinang, konsert akan dibuka dengan satu bentuk lain.

"Banyak kelainan dibuat. Pentas pun sangat lain dari yang ini. Lagu-lagu pun banyak ditukar. Ia lebih padat dan menarik. Insya-Allah, kami tak janjikan bulan bintang tapi ia tetap menarik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 12:40 PM