EDDIE (tengah) ketika beraksi di Konsert Nusafest 2023 malam tadi.
EDDIE (tengah) ketika beraksi di Konsert Nusafest 2023 malam tadi.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Wings, Datuk Awie memuji komitmen pemain bass mereka, Eddie yang kematian isteri, Norlela Mohd Yusof, 61, Jumaat lalu sanggup beraksi bersama mereka di Konsert Nusafest 2023 yang berlangsung di Bandar Malaysia, di sini, malam tadi.

Awie berkata, mereka sudah bersedia mencari pengganti sekiranya Eddie tidak boleh untuk beraksi malam itu, tetapi Eddie tetap mahu menyelesaikan tanggungjawab dan komitmennya sebagai pemuzik.

"Dengan semangat yang ditunjukkan, saya rasa Eddie gagah, kuat dan dapat selesaikan tanggungjawab dia sebagai seorang penghibur dan pemuzik.

"Macam mana sekalipun perjanjian itu dah termaktub dan termeterai, maka kita tak boleh nak elakkan. Jadi, ini adalah satu semangat perjuangan yang bagus yang ditunjukkan oleh Eddie. Alhamdulillah.

"Kita tidak memaksa Eddie kerana dari sudut kesihatan, emosinya terganggu dan sebagainya. Kita tak nak berlaku apa-apa tak elok atas pentas. Alhamdulillah, dengan kekuatan yang ada, semangat setia kawan, semangat padu dalam Wings itu yang kita nak. Syukur alhamdulillah," katanya ketika ditemui selepas konsert.

Menurutnya, semangatnya dan anggota lain hanya 50 peratus kerana terkesan dengan apa yang berlaku.

"Saya pun dalam keadaan sedih dan dalam keadaan ini tenaga merudum. Kita tak boleh nak 'over' macam sebelum-sebelum ini. Tak boleh dan tak mampu.

"Kita bukan kawan tapi dah tahap keluarga. Kami seperti cubit peha kiri, peha kanan terasa. Kita lebih akrab lagi sebenarnya daripada adik-beradik. Jumpa hari-hari, minum sekali dan berlatih sekali.

"Inilah yang buatkan kita terasa dengan apa yang berlaku," katanya yang turut menyanyikan lagu Harapan yang ditujukan kepada Eddie malam tadi.

Sementara itu, Eddie berkata, apa yang dilakukan semalam adalah kerana tanggungjawab sebagai seorang pemuzik.

"Saya bermain dengan Wings dah lama. Jadi apa-apapun masalah yang timbul di luar saya tak boleh campur dengan kerja. Kita kena bagi komitmen.

"Saya lihat kawan-kawan saya sungguh 'support' (menyokong) saya daripada urusan isteri saya di hospital sampai dikebumi. Kawan-kawan semua ada dengan saya. Itu yang saya lagi kuat.

"Saya reda dengan ketentuan Allah. Dah bersedia dengan apa yang berlaku. Jadi, saya cuba teruskan konsert ini. Alhamdulillah saya dapat fokus tapi Awie buat pengumuman masa lagu Harapan saya dah tak boleh tahan," katanya.

Menurutnya, anaknya Bila yang juga penyanyi latar Wings turut mengikut keputusannya untuk beraksi malam tadi.

"Katanya kalau saya beraksi, dia ikut saya. Kalau saya tak boleh dia akan tarik diri. Dia sokong dan tulang belakang saya sekarang. Arwah isteri juga tahu saya akan terbabit dengan Konsert Nusafest 2023 dan beri sokongan sepenuhnya," katanya.

Dalam pada itu, Awie berkata, Allahyarham Norlela meminta maaf setiap hari daripada Eddie sebelum menghembuskan nafas terakhir.

"Alhamdulillah perginya pada hari Jumaat yang mulia. Sama-samalah kita doakan yang terbaik buat arwah," katanya.

Norlela meninggal dunia di Hospital Ampang kira-kira jam 2.30 petang, Jumaat lalu dipercayai akibat komplikasi buah pinggang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 3:37 PM