ANTARA Pati yang diperiksa pegawai JIM Pahang dalam operasi pada Rabu lalu di Kuantan dan Rompin. Gambar Ihsan JIM Pahang
ANTARA Pati yang diperiksa pegawai JIM Pahang dalam operasi pada Rabu lalu di Kuantan dan Rompin. Gambar Ihsan JIM Pahang
RoselanAb Malek

Jerantut: Seramai 74 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan selepas disyaki bekerja secara haram di negara ini dalam serbuan ke beberapa premis di sekitar Kuantan dan Rompin, Rabu lalu.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang berkata, dalam operasi itu, seramai 150 warga Thailand, Indonesia, Myanmar dan Bangladesh diperiksa, yang mana 74 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, kesemua mereka berusia antara 22 hingga 51 tahun itu terdiri daripada 43 warga Indonesia, 25 Bangladesh dan enam warga Myanmar.

"Serbuan dijalankan antara jam 11.30 pagi hingga 6 petang hasil maklumat awam mengenai keberadaan Pati yang disyaki bekerja secara haram.

"Kesemua direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan dihantar ke Depot Imigresen Kemayan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.

Katanya, JIM Pahang juga sedang mengesan pemilik premis bagi membantu siasatan.

"Orang ramai diminta tampil menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan Pati di lokaliti masing-masing bagi membantu pihak berkuasa membanteras isu kebanjiran golongan itu di negeri ini.

"Tindakan perundangan yang tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap Pati dan mana-mana pihak yang menggaji serta memberi perlindungan kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 5:07 PM