GURMIT Singh. FOTO ihsan Instagram Gurmit
GURMIT Singh. FOTO ihsan Instagram Gurmit
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Singapura, Gurmit Singh mencabar kemampuan dirinya membawakan watak Master Baiyun dalam filem terbaharu, The Chosen One yang memerlukan dia melontarkan dialog di dalam Bahasa Mandarin.

Gurmit yang popular menerusi watak komedi, Phua Chu Kang berkata, dia menggunakan teknik menghafal dialog daripada rakaman suara yang dibacakan oleh penerbit filem itu.

"Orang ingat, saya boleh bercakap dalam Bahasa Mandarin memandangkan saya pernah berlakon dalam satu drama Cina di Singapura. Tapi, saya hanya boleh bercakap dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sahaja.

"Jadi, bagi menjayakan watak Master Baiyun, penerbit filem ini membantu saya dengan merakamkan dialog yang perlu dituturkan, seterusnya dihantar kepada saya dan kemudian, saya akan ulang dengar sehingga dapat hafal macam lagu. 

"Kalau anda minta saya untuk ulang semula ayat itu sekarang, memang dah lupa," katanya. 

Selain Bahasa Mandarin, watak Master Baiyun juga turut mempunyai dialog pendek di dalam Bahasa Hokkien dan Jepun.

"Watak ini adalah sebagai mahaguru yang gila-gila. Jadi, saya rasa, dengan adanya beberapa babak yang saya selitkan pelbagai bahasa, ia dapat menyuntik elemen komedi untuk babak itu. 

"Apapun, watak Master Baiyun ini benar-benar lari daripada kebiasaan kerana saya tak pernah membawakan watak sebegini sepanjang karier lakonan saya," katanya. 

Terdahulu, Gurmit ditemui pada sidang media bersama pengarah dan pelakon filem The Chosen One di sebuah pawagam di ibu kota pada hari ini.

Selain Gurmit, filem yang akan ditayangkan bermula 30 Mei ini di pawagam Malaysia dan Singapura itu, turut dibintangi pelakon lain seperti Zong Zijie, Yao Kuo, Angel Lim dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 4:52 PM