Ikhwan Rosli
Ikhwan Rosli
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pelakon yang juga bekas penyampai radio, Ikhwan Rosli, 41, menyifatkan penamatan kontrak penyampai radio tidak sepatutnya menjadi isu yang perlu dihebohkan kerana ia berkaitan rezeki.

Ikhwan atau nama sebenarnya, Mohd Khairul Ikhwan Rosli berkata, dia pernah melalui situasi kontrak ditamatkan ketika berkhidmat di Kool FM dan menerimanya dengan hati terbuka berikutan yakin ada rezeki lain akan datang.

"Pada saya 'chill' sajalah (apabila kontrak kerja ditamatkan). Tiada apa yang perlu dihebohkan sebab itu maknanya rezeki kita mungkin sampai di situ saja (di stesen radio berkenaan) kerana Tuhan nak bagi yang lebih lagi, mana tahu?

"Cuma, benda ini 'simple' saja sebenarnya dan siapa yang pernah terbabit dalam penyiaran radio mesti faham hitam putih dan realitinya. Apatah lagi, contohnya kalau kita sudah berkhidmat lama di sesebuah stesen radio itu, kita kena faham dan mengerti hakikat hidup bersilih berganti," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Ikhwan yang kini dikenali sebagai Ikhwan Lein ditemui pada majlis sidang media drama Tonton Original Series, SeOfis lakonannya bersama Siti Saleha, Nadiya Nisaa dan Nadia Aqilah di Worq, Nu Sentral di sini, hari ini.

Menurut Ikhwan, urusan penamatan kontrak membabitkan penyampai radio juga bergantung kepada pihak pengurusan tertinggi di sesebuah stesen radio itu berdasarkan pelbagai sebab.

"Sebenarnya, semua bergantung kepada stesen itu sendiri. Banyak kemungkinan (sebab), antaranya mungkin ada masalah hati dalam pengurusan radio itu, masalah disiplin dan sebagainya.

"Saya sendiri pernah berkhidmat sebagai penyampai radio selama 12 tahun dan apa yang boleh dikatakan adalah kita ini ibarat macam pemain bola sepak, habis musim bertukarlah ke kelab lain.

"Ditambah, setiap stesen radio itu ada politik masing-masing. Tapi, di tempat kerja lain pun ada politiknya dan di mana-mana. Jadi, jangan cakap banyak dan reda sajalah," katanya.

Ikhwan sebelum ini pernah berkhidmat selama 10 tahun sebagai penyampai radio Hot FM bermula Januari 2006 dan kemudiannya berpindah di Kool FM sebelum menamatkan perkhidmatan pada November 2017.

Baru-baru ini, Suria FM dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan stesen itu memberitahu khidmat penyampai radio segmen Suria Petang, Tyzo Xender ditamatkan atas alasan penstrukturan strategi untuk tahun 2024.

Justeru, Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zolqarnain, 47, menerusi hantaran di media sosial meluahkan rasa kecewa dan penuh kesal kerana dia masih mahu berkhidmat lagi di stesen radio itu, namun kontrak kerja ditamatkan.

Berikut isu Tyzo itu, platform media sosial menjadi 'medan' hangat dengan pelbagai komen netizen yang sedih dan marah berhubung penamatan kontrak kerja berkenan, sekali gus mencetus kontroversi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 6:14 PM