FENIX360
FENIX360
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Platform media sosial pertama dunia yang berpusat kepada artis, FENIX360 dilancarkan baru-baru ini dengan misi memberikan sokongan dan memperkasakan artis dalam usaha kreatif mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FENIX360, Allan Klepfisz berkata platform itu mengubah cara artis berhubung dengan penonton, kerjasama dengan rakan sekerja, dan mengekalkan kerjaya kreatif mereka.

"FENIX360 bukan hanya aplikasi, ia adalah gerakan untuk mengubah landskap artistik, mengalihkan fokus dari platform kepada artis, mencipta persekitaran holistik bagi artis untuk mempamer dan mengkomersialkan hasil kerja mereka," katanya.

CEO FENIX360 Asia Pasifik, Sandy Monteiro pula berbangga dapat mempersembahkan FENIX360 sebagai platform yang benar-benar berpusat kepada artis.

"Kami sangat gembira melaksanakan acara pelancaran di Malaysia kerana kami yakin pencipta dan artis Malaysia akan mendapat manfaat yang signifikan dari pelancaran aplikasi ini," katanya.

FENIX360 memberikan peluang terbaik untuk meningkatkan pendapatan dari usaha kreatif mereka, menetapkan standard baru dalam bidang seni dan sektor kreatif yang membezakannya daripada platform media sosial lain. 

Pencipta kandungan seperti ahli muzik, penari, pengeluar, artis, model dan pereka dapat memperoleh bahagian pendapatan yang besar dari iklan dan transaksi lain, termasuk jualan barang dagangan dan siaran langsung.

Selain itu, platform berkenaan mendorong hubungan yang lebih mendalam antara artis dan peminat, memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. 

FENIX360 yang berpusat kepada artis mengintegrasikan kandungan dari pelbagai sumber seperti YouTube, Instagram dan Facebook, menawarkan pengalaman menyeluruh untuk pencipta dan peminat.

Dalam pada itu, acara FENIX360 Live! di Malaysia bakal berlangsung pada 21 Januari di Jiospace, Petaling Jaya dengan persembahan Noh Salleh, Imsomniacks, Masof, Myo (Jemson), Leaism, dan The Frankie Sixes!

Acara itu akan bermula jam 4.30 petang hingga 10.30 malam. Turut memeriahkannya adalah barisan DJ Jemput Dengar. 

Aplikasi FENIX360 boleh didapati menerusi laman sesawang selain di platform iOS dan Android secara global.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 4:01 PM