SHAMSHUL Azree menunjukkan trofi majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 35 di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur. FOTO  Eizairi Shamsudin
SHAMSHUL Azree menunjukkan trofi majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 35 di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Anugerah Bintang Popular BH ke-35 (ABPBH35), dilancarkan secara rasmi dalam acara yang berlangsung di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.

Pelancaran itu turut menandakan bermulanya proses pengundian Top 20 untuk 12 kategori utama, di samping tujuh kategori Ekstra! secara dalam talian.

Pengarah ABPBH35 merangkap Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir berkata, ABPBH35 kembali merancakkan industri kreatif tempatan bagi mengiktiraf sumbangan insan kreatif dalam pelbagai medium dan platform popular, sesuai dengan fasa peralihan endemik Covid-19.

"Selepas penggiat industri kreatif melalui detik sukar sejak penularan pandemik Covid-19 yang menyaksikan sebahagian besar daripada anak seni hilang sumber pencarian, kira-kira tiga tahun lalu, penganjuran ABPBH 35 diharap dapat merancakkan lagi pembangunan industri seni.

"ABPBH 35 sekali lagi berbesar hati memberi mandat kepada peminat yang selama ini cukup setia memberi sokongan kepada artis, selebriti dan pengkarya seni, untuk memilih bintang pujaan masing-masing dalam pelbagai kategori dipertandingkan," katanya.

Menurut Shamsul Azree, BH juga akan terus membawakan acara anugerah yang cukup sinonim dalam mengukur kecemerlangan artis dan penggiat seni tempatan itu.

"Sokongan tidak berbelah bahagi peminat kepada pembangunan industri seni menjadi nadi penggerak dan talian hayat untuk sektor kreatif terus berkembang, termasuk pengkarya danvsumber tenaga lain lain yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam landskap seni kreatif tempatan.

"BH teruja dapat membawa ABPBH35 yang sudah menjadi acara sinonim dalam mengukur kecemerlangan artis dan penggiat seni tempatan. Ini membolehkan pengiktirafan selayaknyavdiberi kepada anak seni yang bukan sahaja berbakat, malah mempunyai visi untuk membawa karya dan kepakaran mereka lebih jauh dalam era digital," katanya.

Di acara yang diacarakan oleh pengacara, Haziq Hussni itu juga, turut diperkenalkan penaja utama ABPBH35 iaitu Fellera, selaku pengeluar produk kesihatan wanita terkemuka, Jelly Ajaib Bellrossa.

Pengasasnya, Syarifah Nur Fakhirah Syed Muhsin atau lebih dikenali sebagai Syarifah Kyra Muhsin berkata, dia ingin membawa kelainan dalam acara anugerah yang menjadi pengisi ketika zaman dia membesar ini.

"Saya ingin memberikan satu impak yang segar, dan berikan kelainan berbanding ABPBH dalam tahun-tahun terdahulu.

"Saya juga mengikuti segala perkembangan dalam industri hiburan dan saya sendiri adalah penonton acara anugerah ini sejak kecil. Jadi, menjadi satu kebanggaan apabila dapat menjadi penaja utama untuk acara ini," katanya.

Acara pelancaran itu juga turut dihangatkan dengan persembahan oleh kumpulan The Gadys, Aiman dan Alin Sidek serta band indie, Budak Nakal Hujung Simpang di samping kehadiran lebih 20 selebriti.

Turut hadir, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan BH dan Penaung ABPBH 35, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran dan Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Program dan Penyiaran TV3, Siti Nurlisia Mohd Naszri.

ABPBH35 mengusung tema Ekspresi Legasi Seni yang akan berlangsung pada 21 Julai ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), ditayangkan secara langsung di saluran TV3, Strim Live HD di Tonton dan saluran YouTube TV3 serta BH.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 11:38 AM