Pelakon, Eyka Farhana ketika tayangan khas filem Anak Perjanjian Syaitan 2 di TGV Encorp Strand Mall, Petaling Jaya. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Pelakon, Eyka Farhana ketika tayangan khas filem Anak Perjanjian Syaitan 2 di TGV Encorp Strand Mall, Petaling Jaya. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Ridzuan Abdul Rahman


Petaling Jaya : Pelakon, Eyka Farhana gembira apabila impian untuk berlakon di bawah arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri menjadi kenyataan.

Walaupun dikategorikan seorang yang penakut, Eyka atau nama sebenarnya, Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 28, mengambil keputusan memberanikan diri menerima tawaran berlakon filem genre seram, Anak Perjanjian Syaitan 2 arahan pengarah terbabit.

"Ini adalah filem seram pertama saya dan apa yang dilakukan adalah kerana mahu mencabar diri melakukan perkara baharu. Apatah lagi saya memang teringin nak berlakon di bawah arahan Ahmad Idham.

"Ini kerana saya suka dengan filem-filem seram yang dia arahkan sebelum ini. Namun, pada masa sama,

saya adalah seorang penakut.

"Apabila ditawarkan untuk terbabit dalam filem ini, saya terfikir kenapa tidak cabar diri untuk bawakan watak Azlinda," katanya.

Ditanya berkenaan cara menghilangkan rasa takut, Eyka berkata, dia cuba sedaya upaya berfikiran positif dan fokus untuk menyempurnakan tugasnya saja.

"Ketika di set penggambaran memang ada ustaz, jadi mungkin kalau ada apa-apa terjadi dia boleh bantu. Saya juga rasa agak selamat bila ada juga ustaz yang akan memantau.

"Alhamdulillah tak ada apa yang terjadi. Saya cuma demam dan ada dengar bunyi sesuatu, tetapi tidaklah sampai nampak benda yang bukan-bukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 5:42 PM