EYKA buang sikap sambil lewa, mahu lebih serius dalam kerjaya.
EYKA buang sikap sambil lewa, mahu lebih serius dalam kerjaya.
Sudirman Mohd Tahir


Keputusan pelakon cantik Eyka Farhana menyertai syarikat pengurusan artis Mind Order pada April lalu dianggap berbaloi.

Bukan saja menjamin kerjaya dan masa depannya, malah Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 22, berasakan banyak perubahan berlaku dalam dirinya.

Eyka juga mengakui, sejak kerjayanya diurus dengan baik, namanya kian dikenali dan mendapat banyak tawaran membabitkan watak mencabar.

“Selama empat bulan ini saya melalui banyak perubahan drastik dalam diri dan kerjaya. Jika dahulu saya menguruskan kerjaya sendiri, sekarang semuanya lebih teratur. Syarikat pengurusan bukan sahaja mengatur kerjaya saya, malah mereka menjaga semua perkara.

“Jika dahulu tak banyak yang mengenali saya, tetapi kini sebaliknya. Mungkin disebabkan kerap muncul di kaca TV dan melakonkan watak berbeza membuatkan penonton mula ambil tahu. Pada masa sama, tawaran diterima juga lebih kepada watak mencabar.

“Apa yang penting juga, sepanjang bersama syarikat pengurusan saya banyak belajar mengenai cara menangani isu membabitkan hal peribadi. Pada masa sama, mereka membantu saya untuk menyelesaikan perkara itu,” katanya.

Eyka yang dikenali menerusi drama Juvana turut mengakui sebelum ini dia banyak diperkatakan membabitkan kisah negatif berbanding kerjaya.

“Saya pun tak tahu kenapa orang lebih memandang kisah buruk berbanding kebaikan yang saya lakukan. Setiap masa saya cuba menjadi manusia lebih baik, namun saya akur, penerimaan setiap orang berbeza.

“Tidak dinafikan dahulu saya melalui fasa sebagai seorang remaja yang belum matang. Sekarang apabila usia kian meningkat dan dibantu beberapa individu yang menguruskan kerjaya, saya jadi lebih rasional.

“Bukan masanya untuk bersikap sambil lewa dan main-main. Saya nak jadi lebih serius dan berjaya seperti kebanyakan artis lain. Kalau boleh jangan ungkit lagi masa lalu saya. Biarlah ia sekadar menjadi pengalaman dan masa lalu saya,” katanya.

Menurut Eyka, setiap perkara yang dilalui sebelum ini mendewasakan dirinya untuk memandang jauh ke hadapan.

Disalah anggap sebab terlalu ramah

Siapa sangka sikapnya yang peramah itu mengundang situasi kurang menyenangkan apabila ada lelaki cuba mendekatinya kerana menyangka dia menyukai mereka.

Eyka berkata, sikap ramah itu bukan sengaja dibuat-buat, sebaliknya ia memang personalitinya sejak dulu lagi.

“Memang saya mudah mesra walaupun dengan orang yang baru dikenali. Tetapi nampaknya sikap itu membuat orang salah faham. Sehinggakan ada pula cuba mendekati dan tidak kurang juga mengatakan saya ‘over’.

“Ada ketika saya pun keliru dengan situasi sebegini. Kalau saya tak ramah atau bertegur sapa, orang kata saya sombong. Jadi apa saya lakukan adalah menjadi diri sendiri. Saya percaya tak semua orang boleh terima diri kita.

“Malah, saya juga tahu ada orang sekeliling kita yang bermuka-muka. Walaupun belum pernah berdepan dengan individu sebegitu, saya sentiasa mempersiapkan diri dan lebih berhati-hati,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjayanya, Eyka terbabit dalam penggambaran drama 20 episod berjudul Kisah Yang Hilang.

Drama yang bakal ditayangkan di slot Seramedi ini menggandingkannya dengan Izzue Islam.

“Apabila sudah ada syarikat pengurusan, mereka banyak membantu saya memilih watak dan karya sesuai. Bagi saya setiap peluang yang datang adalah rezeki.

“Ini kali pertama saya berlakon dalam slot itu. Apabila dikelilingi banyak pelakon hebat, saya berasa teruja. Apatah lagi ini kali pertama saya berlakon drama genre seram,” katanya.

Selain itu, Eyka juga bakal muncul dalam filem Safari Mall bersama Nadzmi Adhwaa.

Ditanya tidakkah dia ingin mencuba bidang nyanyian seperti kebanyakan pelakon lain, Eyka mempunyai jawapan tersendiri.

“Kalau boleh saya memang nak ceburi semua bidang. Jika diberi peluang menyanyi, saya nak pergi kelas vokal dahulu. Saya tidak mahu memalukan diri sendiri apabila muncul dengan nyanyian yang biasa-biasa saja.

“Cuma buat masa sekarang biarlah saya memberi fokus kepada bidang lakonan. Malah saya berasakan bakat saya menyerlah dalam bidang ini. Saya juga ada misi tersendiri ingin berjaya dalam kerjaya. Orang kata bukan setakat berlakon, tetapi perlu ada sesuatu yang boleh dibanggakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 5:28 AM