EYKA Farhana cabar diri lakonkan watak filem seram pertama Anak Perjanjian Syaitan 2.
EYKA Farhana cabar diri lakonkan watak filem seram pertama Anak Perjanjian Syaitan 2.
Syafil Syazwan Jefri

SIAPA sangka wajah manis pelakon, Eyka Farhana mampu menghasilkan satu kualiti lakonan luar biasa di layar perak menerusi karya bergenre seram Islamik berjudul Anak Perjanjian Syaitan 2.

Meskipun berjaya dengan peranan menyeramkan di layar perak, Eyka, 28, berkongsi bahawa sebenarnya dia seorang yang amat penakut dalam kehidupan sebenar.

"Ini filem seram pertama lakonan saya. Sebelum ini, saya tak pernah berlakon dalam filem mahupun drama bergenre ini.

Apabila pengurus saya maklumkan tawaran ini, keesokan harinya, kami terus bermesyuarat dan berbincang. Saya terus terang kata saya seorang yang penakut.

"Tapi, pada masa sama saya nak cabar diri saya dan kemampuan diri saya sebagai pelakon," katanya.

Hadir berbusana serba putih di acara malam gala tayangan filem itu baru-baru ini, Eyka turut berkongsi mengenai watak Azlinda yang dijayakannya dan pengalaman bekerja di bawah arahan pengarah Ahmad Idham.

"Bagi menjayakan watak Azlina, banyak yang saya belajar. Saya kaji karya daripada genre begini untuk dapatkan pemahaman jelas mengenai watak.

"Menariknya bekerja dengan pengarah Ahmad Idham, tak semua yang ada di dalam skrip itu, akan ada di set. Banyak 'kejutan' buat saya.

"Jadi, kalau anda tonton filem ini, ada babak yang sebenarnya tak ada pun di dalam skrip. Contohnya, babak di dalam lubang kubur. Itu memang tak ada dalam skrip. Tapi, Alhamdulillah semuanya lancar," katanya.

Berkongsi babak di dalam lubang kubur, Eyka berkata, dia berdepan serangan demam selepas selesai menjayakan babak itu.

BELUM merancang ke tahap seterusnya mengenai hubungan dengan bintang bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid.
BELUM merancang ke tahap seterusnya mengenai hubungan dengan bintang bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid.

"Seperti yang Ahmad Idham jelaskan, semua yang bekerja dalam produksi kali ini diserang demam termasuk saya. Tapi, mungkin juga disebabkan cuaca hujan pada ketika itu," katanya.

Namun begitu, tidak lengkap jika pengalaman berlakon dalam filem seram, tidak 'dihantui' pengalaman seram sehingga ke luar set dan Eyka sendiri turut melaluinya.

"Ketika di set, perasaan seram itu tidak terlalu mengganggu kerana saya tahu sentiasa ada ustaz menjaga kami. Tapi, ada satu hari, kami selesai penggambaran antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi.

"Dah selesai babak saya, saya menuju ke kereta dengan adik. Saya dengar suara orang menyanyi. Saya pandang adiksebab bukan saya seorang sahaja yang dengar.

"Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, kami berdua tak bersuara langsung. Memang senyap sahaja," katanya.

Tambah Eyka, dia juga mengamalkan nasihat beberapa individu yang lebih berpengalaman agar singgah di tempat lain terlebih dahulu atau habiskan sedikit waktu di dalam kenderaan sebelum masuk ke dalam rumah.

"Setibanya di rumah, saya ikut nasihat mereka yang lebih berpengalaman supaya duduk dulu dalam kereta atau singgah di mana-mana. Lagi pula, di rumah ada adik masih kecil.

"Bila dah balik ke rumah, perasaan saya seperti rasa ada orang sedang memerhatikan saya. Tapi, setakat itu sahajalah," katanya.

Menyentuh perihal peribadinya, kekasih kepada pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid ini masih memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai fasa perkahwinan untuk hubungan cinta dijalin sejak lima tahun lalu itu.

"Mengenai perkahwinan, setakat ini, kami tak rancang apa-apa lagi. Mungkin kata orang, belum sampai seru. Lagi pula, kami berdua sedang mengejar cita-cita dalam kerjaya masing-masing.

"Untuk saya secara peribadi, saya nak kejar cita-cita untuk cipta nama di pentas antarabangsa tahun hadapan. Mungkin kalau ada rezeki, nak tembusi pasaran negara jiran seperti Indonesia.

"Tapi, jika ada berita gembira mengenai perkahwinan, tentu saya kongsikan dengan semua," katanya.

Anak Perjanjian Syaitan 2 edaran Primeworks Studio bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 4 Januari ini turut dibintangi Alif Satar, Fasha Sandha, Azlan Komeng, Azizah Mahzan dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 6:03 AM