EYKA Farhana. FOTO Genes Gulitah
EYKA Farhana. FOTO Genes Gulitah
Georgie Joseph

Petaling Jaya: Pelakon Eyka Farhana tidak berselindung namun cuma akan berkongsi bila perlu mengenai hubungannya dengan pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid.

Eyka, 28, berkata dia sangat bahagia dengan kehidupan sekarang serta teman istimewanya itu. Mereka juga saling menyokong sesama sendiri untuk terus maju dalam karier masing-masing.

"Kami sudah berkawan hampir lima tahun. Orang bertanya kenapa saya nak sorok-sorok (hubungan dengan Akhyar). Tapi apabila sudah tunjuk, kena cakap-cakap pula.

"Jadi sekarang, apa yang saya rasa nak kongsi, saya kongsilah. Hubungan kami pun macam biasa. Alhamdulillah, dia pun sangat beri sokongan saya berada dalam industri," katanya.

Pelakon filem Anak Perjanjian Syaitan 2 (APS2) itu berkata mengenai jodoh pula dia serahkan kepada ketentuan.

Apapun, menurutnya Akhyar adalah teman cukup istimewa buatnya.

"Banyak lagi saya ingin capai dalam hidup sebenarnya. Tapi kalau memang sudah jodoh dengan seseorang itu, nak tolak macam mana pun, tetap nak kahwin juga.

"Sekarang tak adalah bincang nak ke fasa serius kerana belum masa sesuai," katanya.

Dalam pada itu, Eyka teruja menjayakan watak utama pertamanya dalam filem seram APS2 arahan Dr Ahmad Idham itu.

Katanya banyak perkara baharu dia lakukan sewaktu penggambaran.

"Saya kena masuk lubang kubur, terbang-terbang, dan dirasuk. Memang teruja sangat kerana lama idamkan watak dalam karya seram. Dapat pula produksi yang sentiasa tampilkan kejutan di set," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 3:12 PM