Nabila dan Khai berduet menerusi lagu Selagi Ku Ada
Nabila dan Khai berduet menerusi lagu Selagi Ku Ada
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Bukan mudah untuk seorang penyanyi dan komposer melangkah ke pentas akhir, acara berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL) yang mengiktiraf lagu terbaik sekali gus memartabatkan karyawan seni tanah air pada saban tahun.

Bagi penyanyi, Nabila Razali atau nama sebenar Nabila Mohd Razali, 31, dia bersyukur kerana diberi peluang tampil pada saingan Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) ke-38 di Studio 1, Glenmarie baru-baru ini.

Nabila bergandingan dengan Khai Bahar menerusi lagu Selagi Ku Ada ciptaan penyanyi dan komposer Amylea Azizan.

Sebelum ini, Nabila pernah beraksi sebagai finalis AJL35 menerusi lagu Peluang Kedua pada 2021. Meskipun persembahannya ketika menyampaikan lagu Peluang Kedua mendapat kecaman gara-gara 'terkucil', Nabila tetap menganggap ia pengalaman yang turut mematangkannya sebagai anak seni.

Menurut Nabila, dia berharap dapat menebus kembali insiden itu dengan memberikan persembahan lebih baik pada masa akan datang.

"Tipulah, kalau saya kata tak ada berasa trauma selepas insiden berkenan tentunya perasaan itu ada. Namun, saya cuba letak perasaan itu ke tepi dan mahu fokus untuk memberikan persembahan terbaik.

"Apa yang sudah lepas, biarkan ia berlalu," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai gandingan duet bersama Khai pula, kata Nabila, Khai juga membantu menaikkan semangatnya untuk memberikan persembahan terbaik.

"Alhamdulillah, dengan adanya Khai sebagai rakan duet dan pasukan yang sering menyokong, saya anggap ia suatu kelebihan dan memberi keyakinan kepada saya," katanya.

Berkongsi kerjasama dengan penyanyi Amylea Azizan pula, kata Nabila, dia bersyukur kerana diberi peluang dan kepercayaan oleh komposer dan penulis lirik berkenaan walaupun ada pihak yang mendakwa dirinya tidak boleh menyanyi secara langsung.

"Perkara itu kena tanya kepada pencipta lagu kerana dia yang beri kepercayaan dan peluang pada saya," katanya.

Sementara itu, Amylea pula berkata dia lebih suka bekerjasama dengan penyanyi yang sentiasa berusaha keras untuk menjadi lebih baik.

"Begitu juga dengan Nabila dan Khai, mereka sangat rajin dan berusaha keras.

"Sesiapa sahaja boleh menyanyi. Tetapi, kerajinan untuk berusaha menjadi lebih baik membezakan setiap penyanyi itu.

"Walaupun penyanyi itu hebat macam mana sekalipun, tapi kalau pemalas, tidak akan ada satu lagu pun boleh menaikkan namanya," katanya.

Lagu Selagi Ku Ada adalah runut bunyi untuk drama Kerana Cinta Itu Ada lakonan Nabila berganding dengan pelakon Aedy Ashraf yang sudah bersiaran di Slot Akasia TV3.

Selagi Ku Ada menceritakan mengenai pasangan yang terpaksa berjauhan dan merindui antara satu sama lain selepas satu krisis memisahkan mereka.

Selagi Ku Ada membabitkan kolaborasi empat syarikat iaitu Nabila Razali Entertainment, Global Keynote, Alternate Records Sdn Bhd dan Grateful Music Entertainment, manakala Universal Music Malaysia bertindak selaku pengedar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 2:14 PM