NORA
NORA
Suhaila Khairie


Kuala Lumpur: Pelakon, Nora Danish mendedahkan khidmat pengawal peribadi atau 'bodyguard' bukanlah demi keselamatan semata-mata tetapi dapat membantu dan memudahkan aktiviti hariannya.

Nora, 41, berkata keputusan itu dilakukan atas saranan suaminya, Nedim Nazri Aziz sejak berkahwin tujuh tahun lalu bagi mengatasi kebimbangan mengenai dirinya ketika di luar.

"Saya ni kadang-kadang leka, barang pun selalu tertinggal dan telefon juga pergi entah ke mana.

"Jadi dengan adanya 'bodyguard' dapat membantu saya pastikan semuanya tersusun.

"Sebelum ini susah sikit sebab kena memandu sendiri. Suami pun akan hubungi 24 jam sebab risaukan keadaan saya. Tapi kalau saya sendirian pun lebih baik," katanya.

Mengulas lanjut, suaminya kini akan terus menghubungi 'bodyguard' bagi memastikan dia berada dalam keadaan selamat.

Demikian perkongsian Nora ketika ditemui Harian Metro pada majlis tayangan perdana Sayu Yang Syukur semalam.

Sementara itu, Nora berkongsi mengenai pengalaman pertama kalinya berlakon dalam filem arahan Datuk Aaron Aziz yang dirasakan sangat bagus.

"Saya harap dia teruskan jadi pengarah yang lebih baik pada masa depan. Datuk Aaron antara yang berkaliber sebab tak ramai pelakon yang boleh jadi pengarah.

"Bagi saya ini naskhah yang baik, saya pun rindu nak berlakon jadi saya terima tawaran itu sebab rugi besar kalau lepaskan. Datuk Aaron juga seorang yang sangat memahami," katanya.

Filem Sayu Yang Syukur bakal ditayangkan di pawagam tempatan bermula 28 Disember ini dibintangi Datuk Aaron Aziz, Arja Lee, Fairie Khalil, Raja Ema, Datuk Ahmad Tamimi Siregar dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 12:20 PM